KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu, Ary Hussin, 40, mendedahkan perjalanan getir sebelum berjaya menembusi industri seni dengan bertahun-tahun mencuba pelbagai program realiti, Ary pernah menerima kata-kata pedih termasuk dianggap tidak mempunyai “pakej” sebagai artis.
Mengakui sudah lali dengan penilaian orang, Ary atau nama penuhnya Muhammad Hadzri Hussin berkata tahap kematangan membuatkannya lebih fokus mengejar hala tuju karier tanpa menoleh semula kepada pandangan negatif.
- Pernah dihina kerana “tak ada pakej artis”.
- Terlibat dalam uji bakat lebih 20 tahun.
- 7 kali mencuba Akademi Fantasia.
- Pernah disingkir selepas sudah lulus uji bakat.
- Ditegah hadir audition, tapi tetap datang & menyanyi.
- Gimme The Mic jadi pintu ke industri profesional.
- Kini keluar single balada ‘Luka Terpaling Dalam’.
- Lagu ciptaan komposer terkenal, Edrie Hashim.
“Saya dah sampai fasa tak ambil hati. Umur pun makin meningkat, jadi saya nak tumpukan masa pada impian. Saya nak kejar selagi boleh,” – Ary Hussin ketika ditemui F8Buzz pada pelancaran single terbaharu, Luka Terpaling Dalam.
Ary pernah berulang kali mencuba nasib dalam beberapa pertandingan termasuk Akademi Fantasia sebanyak tujuh kali, selain pernah menghadiri uji bakat Suara Viral dan Vokal Bukan Sekadar Rupa.
Namun pengalaman paling mengejutkan ialah apabila dia dibuang daripada sebuah program realiti walaupun sudah melepasi tapisan.
“Saya dah lepas uji bakat awal, tiba-tiba dapat mesej kata saya tak layak. Mereka cakap saya tak ada ‘pakej’. Siap pesan jangan datang sebab mereka dah ada peserta pilihan. Suara saya pun langsung tak dipandang,” kongsinya.
Walaupun ditegah hadir ke sesi seterusnya, Ary tetap nekad muncul dan menyanyi juga.
“Saya ingat lagi ayat mereka, ‘Kalau awak lepas pun, kami takkan ambil.’ Tapi saya tetap nyanyi. Bagi saya, lebih baik buat daripada menyesal,” katanya.
Kini, selepas Gimme The Mic membuka peluang profesional buatnya, Ary memilih untuk lebih selektif dan matang dalam kerjaya.
Dalam karyanya kali ini, Ary mempertaruhkan Luka Terpaling Dalam, sebuah balada emosi hasil sentuhan komposer terkenal, Edrie Hashim dan lagu tersebut menjadi simbol perjalanan sukar yang dilaluinya selama dua dekad dalam muzik.
“Saya harap lagu ini dapat menyentuh perasaan pendengar. Yang penting bukan populariti segera, tapi karya saya diterima,” tambahnya.
Selain merancang lebih banyak projek, Ary juga berbincang untuk kembali aktif sebagai pencipta lagu seperti yang pernah dilakukan bersama kumpulannya sebelum ini.



GIPHY App Key not set. Please check settings