KUCHING – Malam gemilang ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2025 mencipta sejarah tersendiri apabila filem seram dari Kemboja, Tenement, dinobatkan sebagai Filem Terbaik di majlis yang berlangsung di Colosseum Ballroom, Hotel Pullman, Kuching, hari ini.
Filem karya adaptasi novel ini berjaya menewaskan tujuh pencalonan lain daripada seluruh ASEAN, termasuk Abang Adik dari Malaysia, Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam), Some Nights I Feel Like Walking (Filipina), The Gospel of the Beast (Filipina), Crocodile Tears (Indonesia) dan Home Sweet Loan (Indonesia).
- Filem Terbaik: Tenement (Kemboja)
- Pengarah Terbaik: Pham Thien An – Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)
- Pelakon Lelaki Terbaik: Wu Kang-ren – Abang Adik (Malaysia)
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Sweet Qismina – Babah (Malaysia)
- Pelakon Wanita Terbaik: Yunita Siregar – Home Sweet Loan (Indonesia)
- Anugerah Khas Juri: Tegkang (Malaysia) & Waiters (Brunei)
- Anugerah Inspirasi ASEAN: Simon Yam (Hong Kong)
- Anugerah Sepanjang Zaman: Lav Diaz (Filipina)
Di kategori pengarah, Pham Thien An dari Vietnam meraih Pengarah Terbaik menerusi filem Inside the Yellow Cocoon Shell, menampilkan gaya pengarahan simbolik dan penceritaan halus yang memikat juri.
Sementara itu, bakat tempatan terus bersinar. Sweet Qismina berjaya membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Babah, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Manakala pelakon utama filem Abang Adik, Wu Kang-ren, diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik walaupun Wu tidak hadir di majlis malam ini, keputusannya tetap disambut dengan sorakan hangat oleh penonton dan penggiat industri.
AIFFA 2025 turut memberi penghormatan kepada ikon perfileman antarabangsa.
Antaranya, pelakon legenda Hong Kong, Simon Yam menerima Anugerah Inspirasi ASEAN, manakala pengarah dan pengkritik filem Filipina, Lav Diaz, dianugerahkan Anugerah Sepanjang Zaman.
Dalam kategori khas juri, dua filem menonjol menerima pengiktirafan unik iaitu Tegkang dari Malaysia yang memaparkan keindahan budaya masyarakat suku kaum Kelabut di Sarawak dan Waiters dari Brunei.

Majlis malam itu dihoskan oleh Tony Eusoff dengan persembahan istimewa dari penyanyi ternama seperti Ruth Sahanaya, Datuk M. Nasir, Mimi Fly, dan Vince Chong bagi menambahkan kemeriahan acara.
AIFFA 2025 menerima 200 penyertaan daripada penggiat filem seluruh Asia termasuk Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, dan Malaysia, disaring oleh barisan juri antarabangsa yang diketuai oleh pengarah U-Wei Saari bersama juri dari Belgium, Iraq, Indonesia, dan Malaysia.



GIPHY App Key not set. Please check settings