KLANG – Seramai 49 graduan Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) 2025 dari daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam diraikan dalam satu majlis graduasi penuh meriah yang berlangsung di Wyndham Acmar Hotel, Klang.
Majlis disempurnakan oleh Y.B Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor serta Puan Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor.

Program Hos Komuniti Setempat Selangor merupakan inisiatif di bawah Tourism Selangor yang dilancarkan sejak tahun 2018, bertujuan memperkasa komuniti tempatan dalam sektor pelancongan dengan melatih penduduk menjadi hos rasmi pelancong di kawasan masing-masing.
Dalam ucapannya, Dato’ Ng Suee Lim berkata pelantikan hos komuniti baharu dijangka menarik antara 5,000 hingga 10,000 pelancong tambahan setiap tahun ke daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Program ini bukan sekadar meraikan kejayaan peserta, tetapi melambangkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa pelancongan berasaskan komuniti, selaras dengan aspirasi menjadikan sektor ini sebagai pemacu ekonomi luar bandar yang inklusif dan mampan,” – Y.B Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Puan Chua Yee Ling menyifatkan kejayaan 49 peserta kali ini sebagai bukti kekuatan komuniti dalam membangunkan pelancongan negeri.

“Program HKSS kini menjadi antara inisiatif pelancongan komuniti terunggul di Malaysia dengan modul latihan diiktiraf oleh MOTAC dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Ia memastikan pengalaman pelancong di Selangor lebih autentik, mesra dan lestari,” – Puan Chua Yee Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor.
Sepanjang tiga bulan latihan, peserta HKSS didedahkan kepada empat modul utama merangkumi pemetaan aset warisan, aktiviti interpretasi, perkhidmatan hos pelawat, serta kelangsungan kerjaya komuniti.
Mereka turut menjalani latihan praktikal di pelbagai lokasi pelancongan popular seperti Bukit Malawati, Sky Mirror, Pantai Bagan Nakhoda Omar dan Hutan Simpan Raja Musa.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2024 dan Anugerah Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) sebagai penghargaan kepada pemain industri yang berjaya memartabatkan sektor pelancongan negeri.
Dengan pelantikan hos komuniti baharu ini, Selangor terus memperkukuh persediaan menuju Visit Selangor Year 2025 (VSY2025) serta Tahun Melawat Malaysia 2026, seiring usaha menjadikan negeri ini destinasi pelancongan utama negara.



GIPHY App Key not set. Please check settings