Pelakon, Meerqeen yang tersenarai dalam gerakan Blockout 2024 kerana terbabit dengan jenama pro-Israel mengaku cakna dengan situasi yang menimpa penduduk Palestin ketika ini.
Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam berkata, dia tetap menyumbang kepada Palestin, namun memilih untuk tidak menghebohkan perkara tersebut kepada umum.

“Mungkin siapa yang tak ikut saya, tak tahu apa saya buat selama ini. Saya tetap menyokong Palestin dan beri sumbangan kepada penduduk di sana. Buat apa saya hendak menunjuk perkara itu kepada umum.
“Kadang-kadang sebagai manusia kita sibuk dengan kerja dan tak tengok telefon bimbit sangat. Tapi, apapun pengikut saya tahu apa pegangan saya dalam isu ini,” katanya ditemui pada sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, di sini, hari ini.

Meerqeen juga turut memohon maaf andai tindakannya yang tidak menunujukkan sokongan kepada Palestin baru-baru ini mengguris perasaan ramai pihak.
“Kita rakyat Malaysia perlu sokong Palestin dan pada saya, tiada Melayu Islam yang menyokong Israel. Saya minta maaf sekiranya perkara ini membuatkan segelintir pihak tidak senang.
“Sejak 2002 saya bersuara mengenai isu Palestin dan selalu berkongsi di media sosial. Saya juga menyumbang untuk saudara kita di Palestin,” katanya.

Tambah Meerqeen, dia hanya fokus terhadap karier lakonan dan tidak mahu perkara lain memberi kesan kepada prestasinya.
“Saya fokus kepada kerja dan tak mahu ada perkara lain mengacau prestasi saya. Saya memilih untuk teruskan seperti biasa, saya tahu apa dibuat untuk saudara di sana.
“Nasihat saya kepada sesiapa yang ada duit lebih, sebaiknya kalian menyumbang kepada Palestin. Kerana bila ada duit lebih saya juga akan asingkan untuk Palestin. Saya tak mahu cakap mengenai perkara itu kerana ia antara saya dan keluarga,” katanya.

Meerqeen juga menjelaskan bahawa kontrak bersama jenama pro-Israel masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan.
“Kontrak masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan kerana ada beberapa kontrak yang saya masih tengok lagi,” katanya.

Sekadara info, muncul gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Ianya dibuat bagi meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti tanah air yang masih mempromosikan produk berkait dengan Israel di media sosial milik mereka.
Beberapa nama artis telah tersenarai seperti Meerqeen, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi.
GIPHY App Key not set. Please check settings