Tiktok merupakan aplikasi berkaitan video mudah alih berformat pendek yang melahirkan bakat daripada ramai pempengaruh dalam pelbagai kandungan.
Dalam pada itu, Tiktok Awards bakal dianjurkan buat julung kali di Malaysia pada 27 Ogos yang mana akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.
Tujuan program ini diadakan adalah demi menghargai usaha para pencipta tempatan berbakat yang kreatif, menjadi sumber inspirasi terhadap komuniti dan mencorak industri penciptaan kandungan.
Bagaimanapun, kini Tiktok sememangnya telah menjadi suatu platform untuk sesiapa yang mempunyai bakat terpendam dan dieksperesikan melalui video yang telah mencipta selebriti dalam talian melalui For You Page (FYP).
Ujar Ketua Pemasaran dan Operasi Tiktok Malaysia, Yin Yin Hooi, akui berasa teruja melancarkan program yang bakal menjadi acara tahunan dan bertujuan meraikan serta memberikan penghargaan kepada pencipta kandungan dengan bertemakan ‘Yang Gah Di Skrin Kecil’.
“Kami teruja untuk membawakan TikTok Awards kepada warga Malaysia! Temasya yang berprestij ini akan meraikan pencapaian dan usaha luar biasa yang dipamerkan oleh warga pencipta kita, yang merupakan tulang belakang platform ini.
“Sebagai acara yang terulung buat golongan pencipta pada tahun ini, kami berbesar hati untuk menerima penglibatan jenama-jenama di dalam dan di luar talian kerana ia juga dapat membantu anugerah ini menjadi batu loncatan untuk para pencipta mendapatkan banyak lagi pendedahan, yakni melalui kerjasama dengan jenama-jenama yang terkemuka.
“Tema ‘Yang Gah di Skrin Kecil’ mendemonstrasikan potensi membatasi sempadan untuk warga pencipta kita menggandakan dan mempersembahkan kejayaan mereka di atas pentas besar, seperti yang bakal kita saksikan pada 27 Ogos ini!,” katanya kepada F8Buzz.
Suasana Sidang Media Tiktok Awards
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof berkata, dia turut bersemangat dengan kerjasama bersama Tiktok dan bakal menyiarkan Tiktok Awards secara langsung di kaca televisyen TV3.
“TV3 teruja dapat bekerjasama dengan TikTok untuk menganjurkan TikTok Awards pertama di Malaysia. TV3 akan menyiarkan secara langsung TikTok Awards Malaysia pada 27 Ogos jam 9.00 malam, manakala karpet merah pada jam 8.30 malam di TV9.
“Anugerah global ini juga membuka peluang kepada peminat untuk menyokong pencipta kandungan kegemaran mereka dan meraikan yang terbaik dalam komuniti TikTok,” ujarnya.
Selain itu, anugerah ini akan dibahagikan kepada Pilihan Juri (Judge’s Pick) iaitu para calon dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan manakala Pilihan Popular (People’s Choice) merupakan pembukaan undian orang ramai bagi menyokong pencipta konten kegemaran mereka.
Senarai Kategori Tiktok Awards
Senarai Kategori Tiktok Awards
Lebih menarik lagi, Tiktok akan menyampaikan Anugerah Busana Terbaik (Best Dressed Awards) yang akan ditentukan oleh undian orang awam serta keputusan para juri.
Program ini juga akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti tanah air dan persembahan hebat daripada barisan penyanyi kesukaan ramai.
Untuk info, para peminat boleh memberi sokongan terhadap pencipta konten dengan menyaksikan siaran majlis anugerah tersebut secara langsung di TV3 serta akaun TikTok Malaysia di TikTok pada hari Ahad, 27 Ogos 2023. Daftar untuk menonton acara SIARAN LANGSUNG (Live) ini dan raikan kejayaan warga pencipta Malaysia di sini: https://www.tiktok.com/live/event/7267407219657244673 .
GIPHY App Key not set. Please check settings