Berakhir secara aman bagi kes saman fitnah antara ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap sensasi, Caprice yang membuat permohonan maaf di Mahkamah Sesyen pada hari ini.

Saman terbabit melibatkan tindakan Caprice memuat naik hantaran fitnah menerusi Instagram miliknya yang mengaitkan SM Faisal dengan kes bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Menerusi kenyataan yang diberikan oleh peguam yang mewakili plaintif, SM Faisal, iaitu Datuk Akberdin Kader, dia menyatakan Caprice atau Ariz Ramli, 35, telah memohon maaf kepada anak guamnya tetapi tetap perlu membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam menerusi Instagram miliknya.
“Terma-terma lain yang telah dipersetujui termasuk kos tidak boleh didedahkan secara terperinci,” katanya kepada pemberita selepas prosiding persetujuan itu yang direkodkan di mahkamah, yang turut dihadiri peguam, Harjoth Singh mewakili Caprice selaku defendan.
Dalam pada itu, SM Faisal meluahkan rasa lega dan gembira kerana kes saman fitnah itu dapat selesai dengan cara baik.

Sementara itu, pempengaruh media sosial itu telah memuat naik permohonan maaf yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak melalui Instagram miliknya, hari ini.

Pada 15 Ogos 2022, SM Faisal yang mengemukakan saman itu berkata, pada 27 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.
Namun, pada 28 Jun tahun lalu, SM Faisal mendakwa, Caprice memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, melalui Instagram defendan yang antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.
Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.
GIPHY App Key not set. Please check settings