Pelawak dan penyampai radio terkenal, Shuib Sepahtu bakal menamatkan zaman dudanya bersama tunangnya iaitu Watie pada 23 Jun Ini.
Tarikh itu dikongsikan Shuib di satu sidang media khas Walimatulurus Shuib & Watie yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil pada petang Rabu.
Majlis perkahwinan mereka juga akan disiarkan di saluran Astro Ria menerusi program Walimatulurus Shuib & Watie yang akan ditayangkan bermula 24 Jun 2023 sebanyak 3 episod dan satu episod tambahan, Romantika.
“Alhamdulillah persiapan sudah 90 peratus siap. Semuanya berjalan dengan baik. Saya pilih tarikh 23 Jun bukan sebab istimewa atau apa. Tetapi sebab tarikh itu jatuh pada hari Jumaat. Majlis akad nikah pula akan diadakan di Glass Hall, Putra Heights,” katanya.
Kongsi Shuib lagi, pada majlis itu nanti, tiada resepsi yang akan dilakukan. Hanya sekadar akad nikah dan sesi bergambar bersama tetamu.
Pasangan ini juga bakal menerima tajaan bernilai lebih RM1 juta yang merangkumi barang kemas.
Ditanya kenapa dia memilih untuk berkerjasama dengan Astro bagi perkahwinannya bersama Watie, kata Shuib dia terhutang budi dengan Astro yang banyak membantu menaikkan namanya dalam industri seni sejak dia menyertai program realiti, Raja Lawak musim ketiga pada tahun 2009.
“Program ini juga adalah untuk para peminat sebenarnya. Kita buat majlis ini tak adalah besar mana. Jadi jemputan pun tidak terlalu ramai. Peminat-peminat pun tak dapat datang. Dengan adanya program ini, bolehlah peminat melihat perjalanan saya dan Watie. Sebab saya percaya, rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada cerita hidup saya. Apalah salahnya jika saya berkongsi momen bahagia saya bersama mereka. Ini adalah sebagai buah tangan saya untuk mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Watie berkata dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada empat orang anak Shuib.
“Saya sudah biasa menjaga anak buah. Dulu kalau kawan-kawan saya yang dah kahwin ada hal, mereka selalu tinggalkan anak-anak mereka pada saya untuk jaga. Jadi saya sudah biasa menjaga budak-budak,” katanya.
Ditanya adakah dia tidak kisah tiada majlis resepsi seperti yang sering dilakukan oleh pasangan pengantin baru yang lain, kata Watie tiada apa lagi yang dia inginkan kerana inilah perkahwinan impiannya selama ini.
Selain daripada majlis akad nikah, program Walimatulurus Shuib & Watie itu nanti turut akan menyiarkan majlis pertunangan, khatam Al Quran dan majlis berinai.
Terdahulu, Shuib dan Watie telah mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu selepas setahun berkenalan.
GIPHY App Key not set. Please check settings