Konsert Big Stage 2023 minggu kelima malam Ahad menyaksikan kumpulan COEX nyaris-nyaris tersingkir apabila mendapat markah tercorot daripada barisan juri dan juga undian penonton. Namun mereka terselamat selepas pengacara mengumumkan tiada penyingkiran.
Selain COEX, dua lagi peserta iaitu Fidaus Rahmat dan Farhan Shah turut berada di kedudukan tiga terbawah.

COEX yang menyampaikan lagu GIG daripada kumpulan Elite sempena tema ‘High School Crush’ dilihat gagal meyampaikan lagu tersebut dengan baik.
Juri jemputan pada malam itu iaitu maestro muzik, Datuk Ramli MS sewaktu diminta memberikan komen kepada COEX berkata, kumpulan ini perlu melakukan latihan bersama selama 100 hari. Katanya lagi, pengurus kumpulan ini juga perlu melabur duit untuk mengupah guru vokal dan guru muzik.

Sementara itu Pengurus Saluran Astro Ria iaitu Idlan Zahari menafikan pihak produksi cuba untuk menyelamatkan kumpulan COEX daripada tersingkir dengan membuat keputusan tiada penyingkiran pada minggu kelima.
“Pemilihan minggu kelima supaya tiada penyingkiran tiada kena mengena dengan nak selamatkan kumpulan COEX. Kerana jika mereka tersingkir, juri pun punya kuasa untuk guna Imuniti X. Di awal perancangan lagi memang kami sudah rasakan minggu kelima paling sesuai untuk tiada penyingkira., Tambahan pula tema minggu hadapan adalah tema yang dipilih untuk pihak penaja kita iaitu Wawa Cosmetics. Kami mahu membawa perkara yang positif ke minggu hadapan.
Bagi salah seorang juri tetap iaitu Ajai, persembahan pada minggu kelima adalah antara yang paling tidak memuaskan sepanjang lima minggu bersiaran.
“Kebanyakan peserta tidak menyanyi ikut kesesuaian susunan lagu. Tidak ikut nada yang sesuai. Masing-masing hanya menggunakan kekuatan nada tinggi sahaja. Contohnya Nadeera. Apabila dia menyanyi nada tinggi kedengaran sedap. Apabila nota bertukar rendah, mati perasaannya.
“Seperti Waode pula, kita sudah tahu kekuatan dia. Tetapi kadang-kadang dia kena fikir kemapuan dia. Malam ini dia buat secara berlebihan. Dia terlampau ‘overconfident’. Dia ada ‘improvise’ di bahagian korus tetapi notanya salah dan nada tak sampai,” katanya.

kata Ajai lagi, perkara ini sepatutnya hanya berlaku pada minggu permulaan dan spepatutnya setiap peserta sudah faham perkara ini.
“Contoh terbaik pada malam ini ialah kumpulan Dem Lepak Boyz. Mereka melakukan satu transformasi. Apa yang kita mahu mereka lakukan, nampak jelas. Pada permulaan mereka menyanyikan ikut susunan muzik yang asal. Kemudian mereka dangdutkan lagu itu. Segala ‘feeling’ bertukar. Ekpresi dan juga penggerakan. Yang paling penting adalah nyanyian. Kita dapat lenggok dia.

“Untuk kumpulan COEX pula, lagu GIG ini perlukan nyanyian yang agresif. Tetapi kita hanya rasa di bahagian rap sahaja. Sebab mereka ‘handal’ dalam bahagian ini. Tetapi bila dalam pertandingan, kita ambil kira kesemuanya.
“Firdaus Rahmat pula tak habis-habis rasa macam buat konsert dia sendiri. Kemas kini cara nyanyian. Penonton mungkin suka, tetapi kita ada barisan juri,” jelasnya.
Bagi kumpulan COEX pula mereka meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk beraksi di pentas Big Stage.
“Kami berjanji akan menggunakan peluang ini untuk memberikan persembahan yang terbaik pada minggu hadapan menyanyikan lagu dangdut,” kata mereka.

Kata COEX lagi, sebagai kumpulan yang masih baru dan tiada ‘single’ sendiri, mereka akui agak tertekan berhadapan dengan pertandingan ini. Namun mereka gunakan tekanan itu sebagai satu semangat untuk memperbaiki diri.
Ditanya tentang komen Datuk Ramli yang meminta mereka supaya melakukan latihan selama 100 hari, kata COEX mereka memang sering meluangkan masa bersama untuk berlatih vokal dan koreografi.
“Mungkin bila masuk Big Stage lain sikit, Kami kena ikut apa kehendak juri, Sebagai contoh minggu lalu kami dapat komen daripada Datuk Syafinaz iaitu kena ketengahkan vokal utama. Bila kami dapat komen seperti itu, akhirnya kami buka mata. Macam ini rupanya apa yang perlu dilakukan dalam Big Stage.
Selama ini COEX memang ‘all rounded’. Semua akan menyanyi. Itu adalah konsep COEX. Kami juga masih belajar dengan konsep ini kerana kami baru mula cuba minggu ini. Jadi kami terima jika ada kekurangan. Minggu hadapan kami nak cuba buat dengan lebih baik,” jelas COEX.
Berikut adalah kedudukan peserta mengikut markah yang diberikan oleh barisan juri profesional;
Hoondoo (85.33%), Putera Muhammad (78%), Dem Lepak Boyz (75.67%), Nadeera Zaini (73%), Waode (65.33%), Puteri Khareeza (64.33%), Aufahanie (58.33%), Firdaus Rahmat (47%), Farhan Shah (46.67%), COEX (41.67%).
GIPHY App Key not set. Please check settings