in , ,

Corat Coret Konsert Big Stage 2023 Minggu Pertama – Rina Nose Hos Baru, Naufal Azrin Seksi, Duo Korea Muncul Juara

Konsert minggu pertama Big Stage 2023 telah berlangsung pada malam Ahad lepas di mana menyaksikan banyak kejutan menarik membabitkan hos, peserta dan juri.

Selebriti dan pempengaruh terkenal dari Indonesia iaitu Rina Nose telah dipilih menjadi hos bersama Elly Mazlein untuk musim kelima ini.

Tiga peserta antarabangsa dari Singapura, Indonesia dan Korea Selatan turut diperkenalkan buat pertama kali pada konsert ini.

Mereka ialah Farhan Shah mewakili Singapura, Maode mewakili Indonesia dan duo Hoondoo mewakili Korea Selatan.

Komposer dan penyanyi terkenal, Ajai kembali ke kerusi juri tetap sambil ditemani oleh penyanyi dan komposer popular masa kini, Aina Abdul. Pelakon jelita, Nora Danish pula dipilih sebagai Presiden Netizen dan penyanyi Lah Ahmad diundang sebagai juri jemputan.

Seramai 13 peserta telah menunjukkan bakat mereka di pentas Big Stage di mana ada diantaranya merupakan pertama kali membuat persembahan di pentas besar seperti ini.

Antara yang mencuri tumpuan tentunya penyanyi bertubuh genit yang popular dengan lagu Casablanca iaitu Naufal Azrin. Naufal tampil dengan imej seksi memakai sut berwarna merah yang mendedahkan bahagian dadanya. Persembahan Naufal turut mendapat pujian daripada barisan juri.

Naufal Azrin Tampil Dengan Imej Seksi

Begitu juga dengan kumpulan Coex yang terdiri daripada lima orang gadis cantik. Menyampaikan lagu Pink Venom daripada kumpulan Blackpink, kumpulan ini mendapat sorakan gemuruh daripada penonton di dewan MBSA.

Kehebatan duo Hoondoo menyampaikan lagu I Will Go To You Like The First Snow daripada Ailee telah berjaya memikat hati juri sehingga muncul sebagai juara untuk konsert yang pertama dengan jumlah markah sebanyak 81%.

Hoondoo Berjaya Pikat Hati Juri

Malang buat peserta dari Singapura iaitu Farhan Shah yang menyampaikan lagu Sesuatu Janji daripada Taufik Batisah apabila dia mendapat markah tercorot sebanyak 37% menyebabkan dia disingkirkan pada minggu pertama.

Namun ada kejutan yang diumumkan pada penghujung rancangan. Setiap juri diberikan kuasa ‘imuniti x’ iaitu mereka boleh menyelamatkan peserta yang tersingkir, tetapi perlu menyingkir peserta lain yang berada di kedudukan tiga terbawah .

Ajai dan Aina Abdul membuat keputusan untuk tidak menggunakan kuasa imuniti x itu kerana berasa ia adalah satu keputusan yang kejam.

Di saat Farhan mahu melangkah pergi meninggalkan pentas Big Stage, Elly Mazlein mengumumkan bahawa tiada penyingkiran di minggu yang pertama.

Ditanya apa yang membuat Hoondoo muncul sebagai juara untuk konsert minggu pertama, kata Ajai kedua-dua penyanyi ini berjaya memahami persembahan mereka sejak dari rangkap pertama.

“Kombinasi suara mereka sangat bagus. Tetapi kita tak dengar lagi bagaimana mereka menyanyikan lagu rancak. Kita hanya menjurikan mereka berdasarkan persembahan malam ini,” katanya ketika ditemui di sidang media.

Ditanya kenapa Ajai memberikan markah yang tinggi buat kumpulan Coex iaitu sebanyak 78%, kata Ajai kumpulan ini mempunyai ‘attitude’ tersendiri.

Aksi Lincah Kumpulan Coex

“Saya pernah terbitkan kumpulan penyanyi sejak dari zaman 90an lagi. Rata-ratanya ia tentang setiap individu punya ‘presentation’. Kita cepat ingat karakter masing-masing. Coex punya persembahan bukan sahaja menunjukkan apa yang kumpulan mereka boleh tonjolkan, tetapi apa yang setiap seorang daripada mereka boleh tonjolkan. Mereka berjaya menyanyi dalam masa yang sama menari. Itu perlukan usaha yang sangat besar,” ujarnya.

Bagi Aina Abdul pula, dia melihat peserta Big Stage musim kelima ini terbahagi kepada dua kategori iaitu vokalis dan penghibur.

“Saya teruja untuk lihat persembahan pada minggu kedua. Untuk minggu pertama ini saya ‘play easy’ tapi bukan bermaksud kita menjuri sambil lewa. Kita baru nak kenali mereka. Tekak pun masih baru nak warm up,” katanya.

Berikut adalah kedudukan setiap peserta di minggu pertama hasil gabungan markah juri profesional dan undian penonton. Hoondoo (81%), Coex (78.6%), Waode (76.67%), Naufal Azrin (75.67%), Aufahanie (75.33%), Putera Muhammad (72.33%), Nadeera Zaini (71.33%), Dem Lepak Boyz (66%), Firdaus Rahmat (64%), Puteri Khareeza (62%), Isaac Woo (56.33%), Meer Nash (51%), Farhan Shah (37%).

Ditulis oleh Miki Mukarami

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Bapa Berubah Sikap Selepas Kahwin Dengan Miera Leyana, Tak Bertegur Sapa Biarpun Bertemu Di Mahkamah

Selepas Syamsul Yusof, Kini Giliran Puteri Sarah Liyana Pula Failkan Tuntutan Nusyuz