in ,

Apa Kisah Suka Duka Dolla? Nak Tahu Tonton Di Astro Citra Hari Ini

Baharu lebih setahun jagung, mereka diperkenalkan ke dalam arus muzik perdana tempatan namun rezeki kumpulan yang bernama DOLLA ini sudah melimpah ruah.

‘Mana tidaknya sejak meraih perhatian ramai melalui single sulong mereka, ‘Dolla Make You Wanna’ tahun lalu, nama mereka melonjak apabila disamakan dengan kumpulan wanita popular dari Korea, Blackpink.

Malah pada bulan Ramadan lalu, sebaik sahaja melancarkan single lagu raya berjudul ‘Raya Raya Raya’, wajah mereka menghiasi pawagam lama, Rex KL apabila mendapat kolaborasi bersama jenama telefon terkemuka, Samsung Malaysia di bawah program ‘A Rising Star’.

Dan terbaharu, kumpulan yang dianggotai empat gadis remaja ini, Wan Sabrina Wan Rusli aka Sabronzo, 26; Tabitha Ariel Lam aka Tabby, 21; Angelina Chai Ka Ying aka Angel,  20 dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal atau Syasya, 20 terus mencipta populariti apabila kisah hidup mereka pula dijadikan sebuah telefilem berjudul ‘Dolla Watch Me Glow’, mengambil judul lagu single ketiga mereka, iaitu versi Inggeris untuk lagu ‘Impikan’.

Terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music, ia bakal menemui peminat pada 22 Mei, hari ini jam 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.

Khabarnya, hampir 70% kisah di dalam telefilem berkenaan berkisar pada kisah hidup suka dan duka anggota Dolla yang tidak diketahui oleh peminat dikongsikan.

“Memang hampir 70 peratus kisah yang dipaparkan dalam telefilem itu ada kena mengena dengan kami. Cuma 30 peratus yang ditokok tambah bagi mewarnai telefilem itu dan menjadikan jalan cerita drama itu menjadi lebih menarik,” akui Sabronzo mewakili anggota kumpulan Dolla.

Menurutnya, tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada penonton bahkan apa yang bakal disaksikan peminat memang kisah hidup sebenar mereka.

“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami ‘kayu’ selepas menonton aksi pertama kami dalam bidang lakonan. Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan,” tambah Sabronzo.

Pun begitu, bagi Pengarah Kreatif dan Penulis Skrip, Marr Mohamad, beliau amat terkejut dengan kemampuan kumpulan itu berlakon biarpun semuanya pertama kali beraksi di hadapan kamera.

Kata Marr, bagi mengorek kisah hidup empat gadis berkenaan, dia meluangkan masa antara empat hingga ke lima jam semata-mata untuk menemuramah mereka.

“Ada pelbagai kisah menarik yang mungkin peminat tidak tahu mengenai Dolla sebelum ini. Antaranya bagaimana kumpulan itu mendapat tentangan keluarga kerana ingin bergelar penyanyi, kerana ada antara mereka yang datang daripada keluarga yang alim. 

“Serta bagaimana anggota Dolla berdepan dengan kecaman peminat hingga ada yang terpaksa berjumpa dengan kaunselor kerana tertekan dengan buli siber,” ujar Marr.

Tambahnya lagi, apa yang sebenarnya ingin dipaparkan adalah bagaimana  kumpulan itu boleh bermula serta dari mana mereka mendapat nama Dolla. 

“Peminat mungkin tidak tahu mereka juga sebenarnya datang ke Universal Music sebagai artis solo, tetapi pihak Universal menggabungkan keempat-empat mereka menjadi sebuah kumpulan. Jadi kita akan tunjukkan bagaimana mereka ingin mencipta keserasian sedangkan identiti mereka yang berbeza dan kita juga ingin tekankan dalam  telefilem itu yang Dolla bukanlah Black Pink,” sambung Mar.

Selain Dolla, telefilem ini turut dibarisi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi. 

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Senyum Lebar Amir Masdi Apabila Impiannya Tercapai! Apa kah Itu?

Nak Jadi Bintang Aksi Malaysia? Sertai ‘Fit For Action’ Di TV3