Muzik video lagu Kelip-Kelip nyanyian Aina Abdul kembali mencuri perhatian pengguna media sosial. Bagaimanapun, penyanyi dan komposer itu melihat perkara berkenaan secara positif dan menegaskan dia tetap berbangga dengan karya yang dihasilkan pada awal pembabitannya dalam industri muzik.
Aina atau nama penuhnya, Nurul Aina Abdul Ghani, berkata dia ketika itu mempunyai keinginan untuk mencuba pelbagai perkara menerusi muzik video berkenaan, termasuk menampilkan sehingga 10 persalinan dalam satu produksi.
Perkara itu dikongsikan ketika ditemui pada sesi pendengaran eksklusif lagu terbaharunya, Bluest Sky, di Rex KL, Petaling Street, Kuala Lumpur pada Khamis.
BUZZ RingKAS
SIAPA:
Aina Abdul atau Nurul Aina Abdul Ghani
APA:
Aina tidak mengambil hati apabila muzik video lagu Kelip-Kelip kembali menjadi perhatian netizen dan menerima pelbagai reaksi di media sosial.
BILA:
Perkara itu dikongsikan ketika sesi pendengaran eksklusif Bluest Sky pada Khamis.
DI MANA:
Rex KL, Petaling Street, Kuala Lumpur.
MENGAPA:
Aina mengakui ketika menghasilkan muzik video itu, dia masih baharu dalam industri dan mahu mencuba pelbagai perkara. Dia tetap bangga dengan hasil kerjanya meskipun menerima kritikan.
BAGAIMANA:
Aina memilih untuk menerima reaksi orang ramai dengan terbuka dan gembira apabila lebih ramai pendengar mula mengenali lagu yang diinspirasikan daripada Twinkle Twinkle Little Star itu.
Bangga Dengan Hasil Karya Sendiri

Mengulas mengenai muzik video Kelip-Kelip yang kembali diperkatakan, Aina menegaskan dia tetap berbangga dengan apa yang pernah dihasilkan meskipun menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.
“Cakaplah apa yang anda mahu katakan, saya tetap bangga dengan apa yang saya lakukan. Ketika itu, saya masih baharu dalam industri ini dan mahu mencuba macam-macam perkara.
“Sampai satu muzik video itu boleh menggunakan sehingga 10 persalinan,” katanya.
Menurut Aina, dia gembira apabila ada yang menyukai muzik video tersebut, manakala kritikan daripada segelintir pihak tidak lagi menjadi sesuatu yang mahu difikirkannya.
“Saya gembira ada yang suka dan ada juga yang mengkritik. Terpulanglah kepada mereka jika mahu mengkritik atau apa sahaja kerana perkara itu sudah berlalu,” katanya.
Lagu Lama Kembali Ditemui Pendengar

Lebih menarik, pelantun lagu Kamu itu turut berasa gembira apabila lebih ramai orang mula mengetahui kewujudan lagu Kelip-Kelip yang diinspirasikan daripada lagu kanak-kanak Twinkle Twinkle Little Star.
Jelasnya, ketika lagu itu mula diperkenalkan, karya berkenaan mungkin tidak mendapat perhatian seperti yang diterimanya sekarang.
“Saya gembira kerana ramai mula mengetahui bahawa saya mempunyai lagu ini yang diinspirasikan daripada Twinkle Twinkle Little Star. Ketika itu, mungkin lagu ini kurang mendapat perhatian,” katanya.
Bagi Aina, perjalanan sesebuah karya tidak semestinya berakhir ketika ia mula dilancarkan kerana penerimaan pendengar boleh berubah selepas beberapa tahun.
“Kadang-kadang kita tidak tahu bila tuah seseorang akan datang. Mungkin ia hanya datang selepas bertahun-tahun,” katanya.
Terkejut Wajah Lama Muncul Semula

Aina turut mengakui terkejut apabila melihat wajahnya daripada muzik video lama itu kembali muncul di platform Threads sehingga membuatkannya tertanya-tanya tentang perkara yang sedang berlaku.
Dia bagaimanapun tidak melihat perhatian tersebut sebagai sesuatu yang perlu dipandang negatif, sebaliknya berasa gembira apabila orang ramai kembali memberikan perhatian kepada karya lamanya.
Malah, Aina secara berseloroh mengajak pendengar memberikan perhatian kepada lagu-lagu terbaharunya juga.
“Dengarlah lagu yang baharu,” katanya sambil ketawa.
Kini Pertaruh Bluest Sky Untuk Eurovision Asia

Dalam perkembangan lain, Aina bakal mempertaruhkan lagu Bluest Sky untuk pertandingan nyanyian antarabangsa Eurovision Asia yang dijadual berlangsung pada 14 November di Bangkok, Thailand.
Antara negara yang bakal memberikan saingan termasuk Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.
Aina berharap lagu tersebut dapat diterima pendengar dan mendapat tempat di hati mereka ketika dia membawa karya berkenaan ke pentas antarabangsa.



GIPHY App Key not set. Please check settings