Penyanyi dan komposer Nurul Aina Abdul Ghani atau Aina Abdul mendedahkan proses menghasilkan lagu Bluest Sky untuk pertandingan Eurovision Asia menjadi antara pengalaman paling mencabar sepanjang perjalanan muziknya apabila rakaman mengambil masa sekitar 10 jam.
Bukan sekadar memerlukan masa lebih panjang daripada kebiasaan, Aina turut terpaksa berpindah studio dari Kuala Lumpur ke Seremban sebelum kembali ke Kuala Lumpur kerana masih belum menemui bunyi yang dirasakan tepat untuk lagu tersebut.
BUZZ RingKAS
SIAPA:
Nurul Aina Abdul Ghani atau Aina Abdul
APA:
Aina mendedahkan proses menghasilkan dan merakam lagu Bluest Sky menjadi antara pengalaman paling mencabar buat dirinya.
BILA:
Menjelang penyertaannya di pertandingan Eurovision Asia pada 14 November.
DI MANA:
Aina terpaksa berpindah studio termasuk ke Seremban dan Kuala Lumpur bagi mendapatkan bunyi yang tepat untuk lagu tersebut.
MENGAPA:
Proses rakaman menjadi sukar kerana Aina perlu membawa emosi tertentu ketika menyanyikan lagu yang disifatkannya sebagai sebuah karya besar.
BAGAIMANA:
Rakaman mengambil masa sekitar 10 jam, jauh lebih lama daripada kebiasaan Aina yang biasanya mampu menyiapkan rakaman dalam tempoh kira-kira dua jam.
Menulis Lebih Mudah Berbanding Merakam

Aina mengakui proses menulis Bluest Sky sebenarnya lebih mudah buat dirinya berbanding ketika merakam lagu berkenaan.
“Sejujurnya, sudah lama saya tidak merasakan kesukaran seperti ini. Saya rasa proses menulis sebenarnya lebih mudah untuk saya berbanding merakam,” katanya.
Menurut Aina, ketika menulis lagu itu, dia mempunyai perasaan tertentu yang terbuku di hati dan mahu diluahkan menerusi karya tersebut.
“Ketika saya menulis lagu ini, saya mempunyai satu perasaan yang terbuku dalam hati yang ingin saya luahkan. Tetapi apabila kita mahu merakam lagu ini, ia memerlukan satu lagi emosi,” katanya.
Tambah Aina, cabaran terbesar ketika proses rakaman adalah keperluan untuk menghayati watak serta emosi yang dibawa menerusi lagu tersebut.
“Saya perlu menjadi watak itu. Jadi, kalau ditanya apa kesukarannya, ia adalah ketika proses rakaman,” katanya.
Rakaman Dari Pagi Sampai Malam

Berbeza dengan kebiasaannya yang gemar menyiapkan kerja dengan cepat, Aina mengakui Bluest Sky mengambil masa jauh lebih lama untuk dirakam.
“Saya masih ingat ketika merakam lagu ini, dari pagi sampai malam pun tidak habis. Itu adalah tempoh paling lama untuk saya,” katanya.
Aina berkata, dia biasanya mampu menyiapkan proses rakaman dalam tempoh sekitar dua jam kerana sifatnya yang gemar menyelesaikan kerja dengan pantas.
“Selalunya saya jenis yang mahu bekerja dengan cepat kerana saya suka menyiapkannya dalam masa dua jam. Tetapi untuk Bluest Sky ini, saya menghabiskan masa lebih kurang 10 jam,” katanya.
Sampai Terpaksa Pindah Studio

Tidak hanya mengambil masa panjang, proses mendapatkan bunyi yang tepat turut menyebabkan Aina berpindah dari satu studio ke studio lain.
“Saya berpindah studio. Saya pergi ke Seremban, saya pergi ke Kuala Lumpur kerana saya tidak dapat mendapatkan bunyi yang tepat,” katanya.
Walaupun hasil akhirnya kedengaran indah, Aina mengakui perjalanan menghasilkan Bluest Sky dipenuhi pelbagai cabaran yang tidak diketahui pendengar.
“Jadi, untuk Bluest Sky ini, walaupun alhamdulillah kedengaran indah, di sebalik keindahan itu terdapat banyak liku-liku dan cabaran yang saya hadapi,” katanya.
Cabaran Sebenar Adalah Menyanyi Dalam Tiga Minit

Selain proses rakaman, Aina turut berdepan cabaran untuk menyampaikan keseluruhan emosi lagu dalam tempoh tiga minit, iaitu durasi yang ditetapkan untuk penyertaan Eurovision.
“Cabaran sebenarnya adalah untuk menyanyikannya kerana bagi saya, lagu ini besar. Ia juga tidak mempunyai ruang untuk berehat,” katanya.
Jelas Aina, tempoh lagu untuk Eurovision ditetapkan tepat tiga minit, sesuatu yang mencabar dirinya kerana dia sememangnya gemar memberikan persembahan yang lebih panjang.
“Semua tahu saya memang suka melebihi masa. Saya memang suka kalau membuat persembahan, saya mahu sampai empat minit, lima minit atau enam minit. Jadi kali ini, cabaran saya adalah tiga minit,” katanya.
Dalam tempoh singkat itu, Aina perlu mencurahkan pelbagai emosi termasuk kemarahan, cinta dan kesedihan menerusi persembahannya.
“Jadi, dalam tiga minit itu saya perlu mencurahkan segala perasaan dan emosi, marah, cinta, sedih. Itu adalah perkara paling sukar untuk saya,” katanya.
Bagaimanapun, Aina bersyukur segala cabaran tersebut akhirnya berjaya dilalui dan Bluest Sky kini bersedia dibawa ke pentas antarabangsa.
“Tetapi ya, kita berada di sini hari ini. Alhamdulillah, kita berjaya,” katanya.
Aina bakal mempertaruhkan Bluest Sky di pentas Eurovision Asia pada 14 November di Bangkok, Thailand.
Antara negara yang bakal memberikan saingan kepada Malaysia termasuk Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.


GIPHY App Key not set. Please check settings