KAJANG – Semangat cintakan negara tidak semestinya hanya diterjemahkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Bagi pempengaruh dan usahawan Diva M, sambutan Hari Kebangsaan kali ini menjadi peluang untuk menghargai generasi terdahulu menerusi kemahiran yang paling dekat dengan dirinya.
SIAPA: Diva M atau Mohd Muzakir bersama 15 kakitangan Diva Hair Salon.
APA: Memberikan khidmat gunting rambut percuma kepada kira-kira 40 warga emas.
BILA: 25 Ogos 2026, menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 dan Maulidur Rasul.
DI MANA: Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras.
MENGAPA: Mahu menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk menyantuni warga emas dan berkongsi semula rezeki kepada masyarakat.
BAGAIMANA: Diva M menutup operasi salunnya sehari dan membawa 15 kakitangan untuk memberikan khidmat kepada penghuni termasuk warga emas yang terlantar.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69, Diva M atau nama sebenarnya Mohd Muzakir bersama pasukan Diva Hair Salon meluangkan masa menyantuni warga emas di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras menerusi khidmat gunting rambut secara percuma.

Program pada 25 Ogos lalu itu menyaksikan kira-kira 40 penghuni menerima khidmat berkenaan dengan bantuan 15 kakitangan Diva Hair Salon.
Namun, apa yang pada awalnya dirancang sebagai aktiviti kebajikan bertukar menjadi pengalaman cukup peribadi buat Diva M apabila wajah penghuni di situ mengingatkannya kepada ibu serta arwah bapanya.
“Waktu potong rambut mereka, saya jadi sebak sampai menangis kerana terbayang wajah emak dan arwah ayah.
“Kalau saya tengok warga emas ini, saya akan terfikir orang tua saya. Ayah saya dah tak ada, tapi saya fikir mak saya. Apa yang saya nampak pada hari ini, mak saya dengan orang di sini sama saja.

“Umur mereka pun 60 lebih. Jadi saya teringat kepada ibu bapa saya. Saya fikir, satu hari nanti saya juga akan berada di tempat mereka,” katanya.
Merdeka Juga Tentang Menghargai Generasi Terdahulu
Pemilihan tempoh menjelang Hari Kebangsaan memberikan makna tersendiri kepada program tersebut.
Jika sejarah kemerdekaan mengajar masyarakat supaya tidak melupakan pengorbanan generasi terdahulu, semangat sama menurut Diva M boleh diterjemahkan dalam kehidupan seharian dengan menghargai golongan yang pernah bekerja keras membesarkan keluarga dan menyumbang kepada masyarakat.
Pada masa sama, penganjuran bersempena Maulidur Rasul membawa nilai kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama insan.
Bagi Diva M, sumbangan juga tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar kerana kemahiran seseorang boleh memberi makna kepada orang lain apabila digunakan pada tempat yang tepat.
“Mungkin dekat luar saya anggap ini benda yang simple, tapi bagi saya ini sangat berharga. Bukan semua orang boleh potong rambut.
“Jadi bila ada kelebihan di sini, saya akan gunakan dan saya akan tolong ramai orang nanti,” katanya.
Sanggup Tutup Salun Sehari
Demi memastikan pasukannya dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada penghuni, Diva M mengambil keputusan menutup operasi salunnya pada hari berkenaan.

Malah, khidmat gunting rambut bukan sahaja diberikan kepada penghuni yang masih aktif, tetapi turut dilakukan kepada warga emas yang terlantar.
Menurutnya, program itu dirancang kira-kira dua minggu sebelum berlangsung, namun hasrat untuk melakukan aktiviti kebajikan menggunakan kepakaran yang dimilikinya sudah lama tersimpan.
“Saya sudah rancang mengadakan program amal ini sejak dua minggu lalu. Niat sudah lama ada dan Allah SWT yang gerakkan serta izinkan semuanya.
“Ini kali pertama saya anjurkan program amal potong rambut dan pilih RSK Cheras kerana melihat penghuninya yang terdiri daripada berbilang kaum,” katanya.
Kepelbagaian latar belakang penghuni turut menjadikan program tersebut selari dengan semangat Hari Kebangsaan apabila setiap individu disantuni tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Terkenang Pernah Gunting Rambut Arwah Ayah
Hubungan Diva M dengan dunia dandanan rambut bukan sekadar perniagaan.
Kemahiran sama pernah digunakannya untuk menjaga insan paling rapat apabila dia sendiri pernah menggunting rambut arwah bapanya dan sehingga kini masih membantu merapikan rambut ibunya.
Justeru, pertemuan dengan penghuni RSK Cheras yang berada dalam lingkungan usia hampir sama membuatkan kenangan itu kembali menerpa.

“Satu pengalaman baharu buat saya kerana sebelum ini pernah potong rambut arwah ayah, malah masih bantu potong rambut emak sampai sekarang.
“Kali ini dapat bantu warga emas yang lain pula. Saya rasa nak menangis pun ada. Terasa diri ini macam diberikan peluang yang sangat besar dalam kehidupan saya,” katanya.
Diva M turut membawa anaknya bersama dengan harapan pengalaman tersebut dapat memberi pendedahan mengenai kepentingan menghormati warga emas serta berkongsi dengan mereka yang memerlukan.
Kongsi Semula Rezeki Masyarakat
Bagi usahawan berusia 37 tahun itu, peluang melakukan kebajikan juga tidak dapat dipisahkan daripada sokongan masyarakat terhadap perniagaannya selama ini.
Atas dasar itu, dia percaya sebahagian daripada rezeki yang diterima wajar dikongsi semula kepada mereka yang memerlukan.
“Rakyat Malaysia selalu sokong dan pilih produk saya. Alhamdulillah, sedikit hasil daripada produk saya, saya akan salurkan kepada orang yang memerlukan.
“Sebab saya fikir benda ini satu amalan juga bagi saya,” katanya.
Diva M turut merakamkan penghargaan kepada pihak RSK Cheras dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Bukan Aktiviti Sekali Sahaja
Program tersebut juga bukan dirancang sebagai aktiviti sekali sahaja.
Diva M bercadang kembali menyantuni penghuni RSK Cheras menerusi aktiviti lain termasuk sesi minum petang yang lebih santai bagi membolehkan mereka meluangkan masa dan berbual bersama.
“Insya-Allah saya akan buat lagi. Kadang-kadang kita sibuk dengan pasukan, semua pun sibuk, tapi kita kena luangkan masa untuk datang.
“Saya sanggup tutup salun hari ini untuk luangkan masa dengan penghuni dan harap apa dilakukan dapat menjadi saham akhirat juga buat saya,” katanya.
Pembantu Pembangunan Masyarakat RSK Cheras, Muhammad Asyraf Muhamad Kefri turut menghargai kesudian Diva M dan pasukannya turun sendiri menyantuni penghuni.
“Kami di sini terharu dengan usaha Diva M dalam menganjurkan program ini. Kalau boleh, teruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Jika kemerdekaan mengajak rakyat mengenang mereka yang pernah berkorban untuk negara, semangat yang sama mungkin boleh bermula lebih dekat dengan kehidupan sendiri.
Buat Diva M, sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan kali ini bukan sekadar diterjemahkan melalui kata-kata, tetapi dengan berkongsi masa, tenaga dan kemahiran kepada generasi yang terlebih dahulu membina kehidupan untuk mereka yang datang selepasnya.


GIPHY App Key not set. Please check settings