Pelakon Amyza Aznan, 50, tampil menjelaskan keputusan menyertai Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26) beberapa bulan selepas kehilangan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Februari lalu.
Amyza berkata, penyertaannya dalam program berkenaan merupakan pilihan yang dibuat untuk dirinya sendiri, terutama sebagai salah satu cara mendapatkan semula kekuatan selepas melalui pelbagai dugaan dalam kehidupan.
BUKAN UNTUK LARI DARIPADA REALITI
Amyza Aznan menyertai Kilauan Emas Selebriti sebagai usaha mencari kekuatan dan mengalihkan perhatian daripada kesedihan yang dilalui.
MOHON JANGAN DIKECAM
Amyza berharap orang ramai memahami keputusannya untuk kembali melakukan aktiviti selepas pemergian anak sulungnya.
ADRIAN JADI PENGUAT
Anak keduanya, Adrian Adam, turut menyokong keputusan Amyza kerana mahu melihat ibunya kembali bertenaga.
KEADAAN ADRIAN
Pergerakan Adrian kini semakin terbatas selepas tumor yang dialaminya semakin membesar.

Mahu Kembali Bina Kekuatan
Menurut Amyza, dia memilih untuk keluar daripada kesedihan yang berpanjangan dengan melakukan aktiviti yang dapat membantunya membina semula tenaga positif.
“Saya sertai program ini sebab nak lari daripada semua perkara yang sedang dilalui.
“Saya mencari solusi untuk ubati luka sendiri, cari kekuatan terutama bila dapat jumpa dengan kawan-kawan walaupun ada yang cakap waktunya tidak sesuai.

“Ini semua untuk diri sendiri. Saya perlu keluar untuk bina semula benda-benda positif dan mencari kegembiraan. Sebab tenaga itu saya perlu sebarkan pada orang sakit di rumah,” katanya.
Justeru, Amyza berharap orang ramai tidak terus menghukum atau mempersoalkan keputusannya untuk menyertai program tersebut dalam tempoh yang masih dekat dengan pemergian anaknya.
“Saya harap janganlah kecam dengan penyertaan ini walaupun ada yang cakap, ‘Anak kau baru meninggal dunia tetapi sudah masuk itu ini’.
“Semoga orang faham situasi saya sebagai seorang isteri dan ibu yang berdiri (berjuang) seorang diri.
“Dari mana saya nak dapat tenaga? Dengan cara macam inilah, keluar dan buat kerja,” tuturnya.

Adrian Sokong Keputusan Ibu
Dalam masa sama, Amyza mendedahkan anak keduanya, Adrian Adam, 18, turut memberikan sokongan terhadap keputusannya menyertai KES26.
Katanya, Adrian mahu melihat dirinya kembali mempunyai tenaga untuk terus memberikan sokongan kepadanya dalam menghadapi keadaan kesihatan yang dialami.
“Adrian kata saya kena keluar, kami berkongsi tenaga. Kekuatan saya adalah dia dan kekuatan dia pula saya.
“Dia minta saya terima tawaran KES26 selepas dia nampak saya ada ‘goyang’ sikit, macam mula tak kuat untuk sokong dia.
“‘Mummy dapat tenaga baharu dan boleh kongsi dengan saya,’ dia cakap begitu dan sebab itu saya sertai KES26,” katanya lagi.

Pergerakan Adrian Semakin Terbatas
Berkongsi perkembangan terkini anak keduanya itu, Amyza memaklumkan keadaan Adrian semakin membataskan pergerakannya berikutan tumor yang semakin membesar.
“Adrian sekarang macam bedridden (terlantar) jugalah sebab tumor semakin membesar, jadi agak sukar untuk dia keluar.
“Pergerakan dia terbatas, dia susah nak ke mana-mana sebab akan sakit.
“Jadi dia lebih memilih untuk duduk saja dalam bilik tanpa menyusahkan sesiapa selain tak mahu orang kasihan kepadanya,” ujarnya.
Adrian sebelum ini disahkan menghidap kanser tulang pada Februari lalu dan kini sedang menjalani rawatan alternatif bagi menghadapi penyakit tersebut.
Dalam pada itu, Amyza kini meneruskan penglibatannya sebagai salah seorang bintang Kilauan Emas Selebriti 2026, yang menghimpunkan selebriti veteran berusia 50 tahun ke atas dalam pertandingan nyanyian tersebut.


GIPHY App Key not set. Please check settings