Penyanyi Ara Johari mencuri perhatian ramai selepas berkongsi foto bersama seorang lelaki misteri sambil menayang cincin di jari manis, sekali gus mencetuskan spekulasi dirinya bakal mendirikan rumah tangga.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 29, bagaimanapun belum mendedahkan identiti lelaki berkenaan, namun mengakui hatinya kini sedang berbunga-bunga diulit bahagia.
Ara Johari, 29.
APA YANG BERLAKU?
Ara berkongsi foto bersama seorang lelaki misteri sambil menayang cincin di jari manis.
STATUS
Ara mengakui sedang membuat persediaan besar dan akan berkongsi berita dalam masa terdekat.
TEKAAN NETIZEN
Ada yang mendakwa lelaki dalam foto berkenaan ialah Hun Haqeem, namun dakwaan itu dinafikan Ara.
Ara Bakal Umum Khabar Gembira?
Ketika ditemui pada acara karpet merah Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini, Ara memberi bayangan bahawa dia sedang membuat persediaan besar dan bakal berkongsi sesuatu dalam masa terdekat.
“Apa yang saya boleh katakan, saya memang sedang membuat persediaan yang besar. Saya akan beritahu dalam masa terdekat.
“Harap semuanya dipermudahkan. Doakan saya,” katanya.
Perkongsian tersebut sekali gus menguatkan lagi tanda tanya dalam kalangan peminat mengenai status hubungan Ara ketika ini.
Netizen Kaitkan Dengan Hun Haqeem
Tidak terhenti di situ, foto yang dikongsikan Ara turut mengundang pelbagai spekulasi apabila ada netizen mendakwa jejaka dalam gambar tersebut ialah pelakon Hun Haqeem.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan dinafikan Ara.
“Tak adalah. Pandai-pandai saja korang ni. Ada ramai lagi lelaki dalam dunia ni. Yang penting saya tak menjaga jodoh orang lain,” ujar pelantun lagu Menjaga Jodoh Orang Lain itu.
Jawapan Ara itu bagaimanapun masih membuatkan identiti lelaki misteri berkenaan terus menjadi tanda tanya.

Tayang Cincin Di Jari Masing-Masing
Terdahulu, bekas peserta Akademi Fantasia 2015 itu berkongsi foto dirinya bersama seorang lelaki yang tidak didedahkan identitinya.
Dalam foto berkenaan, Ara dan lelaki tersebut dilihat menayangkan cincin pada jari manis masing-masing.
Perkongsian itu kemudiannya menyebabkan ruangan komen media sosial Ara dibanjiri ucapan tahniah daripada netizen yang membuat andaian penyanyi berkenaan bakal melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan.
Namun setakat ini, Ara hanya meminta orang ramai mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan dan berjanji akan berkongsi perkembangan lanjut dalam masa terdekat.
Jadi, siapa sebenarnya lelaki misteri di sisi Ara Johari? Sama-sama kita tunggu pengumuman daripada penyanyi itu sendiri.



GIPHY App Key not set. Please check settings