Impian pelakon versatil, Ucop untuk bergandingan dengan seniwati legenda Wan Maimunah akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka dipertemukan menerusi video khas Generasi Anak Felda.
Ucop menyifatkan peluang berkongsi set dengan pelakon legenda itu sebagai antara detik paling bermakna dalam perjalanan seninya, lebih-lebih lagi selepas membesar dengan karya-karya lakonan Wan Maimunah.
Menurut Ucop, ini merupakan kali pertama dia berpeluang bekerja bersama seniwati berkenaan yang disifatkannya sebagai seorang pelakon yang tiada tolok bandingnya.

“Ini kali pertama saya dapat bekerja dengan beliau. Wan Maimunah seorang seniwati yang memang tiada tolok bandingnya.
“Bekerja dengan dia rasa macam betul-betul ada seorang ibu di set. Dia tahu macam mana nak regulate emosi kita mengikut babak. Sangat pemurah bila berlakon dan banyak memberi. Memang seronok bekerja dengan dia,” katanya.
Ucop dan seniwati legenda Wan Maimunah.
APA
Bergandingan dalam video khas Generasi Anak Felda.
DETIK ISTIMEWA
Impian Ucop untuk berlakon bersama Wan Maimunah sejak kecil akhirnya tercapai.
TAJUK
Generasi Anak Felda.
DURASI
19 minit.
Membesar Dengan Lakonan Wan Maimunah
Lebih mengujakan, Ucop mengakui Wan Maimunah sememangnya antara pelakon yang diimpikannya untuk bergandingan sejak sekian lama.
Malah, dia membesar dengan menonton lakonan seniwati berkenaan, terutama drama-drama TV3 pada awal 2000-an bersama Haliza Misbun.

“Saya membesar menonton lakonan beliau, terutamanya drama-drama TV3 awal tahun 2000-an bersama Haliza Misbun. Saya masih ingat, dia antara pelakon yang betul-betul boleh buat saya menangis sebagai penonton.
“Bila dah besar dan akhirnya dapat berlakon dengan dia, memang rasa macam mimpi. Saya sangat bersyukur tengok macam mana dunia ini kadang-kadang membawa kita kepada impian yang pernah kita angankan. Alhamdulillah,” ujarnya.

Bawa Kisah Anak Felda
Ucop dan Wan Maimunah bergandingan menerusi video khas Generasi Anak Felda berdurasi 19 minit yang dimuat naik oleh Exco Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Amizar Abu Adam dengan kerjasama Media Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang.
Naskhah berkenaan mengangkat kisah seorang anak Felda yang berhijrah ke bandar demi mengejar cita-cita sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke tanah rancangan bagi berbakti kepada ibu bapa serta membangunkan komuniti tempat asalnya.
Gandingan Ucop dan Wan Maimunah dalam naskhah tersebut turut menjadi satu pengalaman bermakna buat Ucop selepas sekian lama mengagumi karya seniwati berkenaan.
Lebih Sedekad Bina Nama Dalam Seni
Dalam perkembangan lain, Ucop melihat perjalanan kariernya hari ini sebagai hasil daripada kesabaran dan konsistensi selepas lebih sedekad membina nama dalam pelbagai cabang seni.
“Sejujurnya, apa yang saya buat 10 tahun lalu sebenarnya adalah perkara yang saya memang nak jadi hari ini. Semuanya bermula tanpa niat lain selain mahu menjadi seorang performer.
“Bila saya tengok balik diri saya sekarang, semua ini adalah hasil daripada kesabaran, konsistensi untuk jadi diri sendiri, berani bereksperimen dengan content, artistic direction dan semua benda yang saya belajar dengan cara yang agak sukar.
“Saya sentiasa percaya saya mampu buat sesuatu yang lebih besar walaupun pernah rasa dipinggirkan, rasa tak sama macam orang lain, tak berada dalam senarai dan bukan pilihan utama,” katanya.

Tak Percaya Perlu Terikat Dengan Satu Bidang
Menurut Ucop, dia tidak pernah percaya seseorang perlu mengehadkan diri kepada satu bidang sahaja untuk mencapai kejayaan.
“Dulu orang selalu cakap kalau nak berjaya kena pilih satu benda dan duduk dalam kotak itu. Tapi saya tak percaya macam itu.
“Saya rasa kita semua mampu buat banyak perkara. Sebab itu saya buat macam-macam daripada menari, teater, content creation dan berlakon. Bila tengok balik, semuanya macam puzzle yang akhirnya bercantum.
“Saya sangat bersyukur bila ada orang nampak kemampuan kita dan percaya untuk menggunakan servis kita. Itu sendiri satu penghormatan buat saya,” ujarnya.
Bagi Ucop, perjalanan lebih sedekad dalam dunia seni akhirnya memperlihatkan bagaimana pengalaman dalam pelbagai bidang saling melengkapi, sekali gus membuka ruang untuk dirinya terus berkembang sebagai seorang pengkarya.



GIPHY App Key not set. Please check settings