Fenomena novel Wattpad Yes! Captain Zul Aaryan akhirnya mendarat di kaca televisyen apabila drama adaptasi tersebut mula bersiaran menerusi slot Akasia TV3 sejak 10 Julai lalu.
Dibintangi Anna Jobling dan Jazmy Juma sebagai watak utama, drama 30 episod terbitan Zamriez Golden Picture Sdn Bhd ini mengangkat kisah hubungan penuh ego, sindiran dan konflik antara Zul Aaryan dan Zara Andrea yang dijangka membuatkan penonton terus melekat di hadapan televisyen.
BUZZ RINGKAS
SIAPA
Anna Jobling, Jazmy Juma dan barisan pelakon drama Yes! Captain Zul Aaryan.
APA
Drama adaptasi novel popular Wattpad yang kini bersiaran menerusi slot Akasia TV3.
BILA
Bermula 10 Julai 2026.
DI MANA
TV3 dan iQIYI.
KENAPA
Membawakan kisah cinta penuh konflik, ego dan salah faham yang menjadi kegemaran peminat novel asal.
Adaptasi Novel Popular
Sebelum diadaptasikan ke televisyen, karya nukilan Wnfhanna ini terlebih dahulu mencipta fenomena dengan lebih 2.48 juta bacaan di Wattpad selain mencatat jualan melebihi 40,000 naskhah.
Turut membintangi drama ini ialah Natasha Sass, Nafiz Muaz, Daniel Fong serta beberapa lagi pelakon terkenal.
Bukan Sekadar Kisah Cinta
Drama ini mengisahkan Zul Aaryan, seorang juruterbang yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), yang memilih menutup pintu hatinya selepas dikhianati oleh bekas kekasih.
Namun kehidupannya berubah apabila bertemu Zara Andrea, seorang pelatih praktikal yang berani, lantang dan tidak mudah mengalah.
Pertemuan mereka yang bermula dengan pelbagai pertelingkahan akhirnya membawa kepada hubungan yang semakin rumit apabila kedua-duanya dipaksa berdepan pelbagai konflik, tekanan keluarga serta emosi yang perlahan-lahan mengubah perasaan masing-masing.
Jazmy Tunaikan Impian
Menurut Jazmy Juma, watak Captain Zul Aaryan merupakan antara karakter yang paling bermakna sepanjang kerjayanya kerana membolehkannya merealisasikan impian membawa watak seorang juruterbang.
“Captain Zul Aaryan ialah watak yang sangat menarik dan saya bersyukur kerana diberi peluang menghidupkan karakter ini di skrin. Membawakan watak seorang juruterbang juga merupakan antara impian dalam bucket list saya sebagai pelakon.
“Harapnya penonton bersedia menaiki penerbangan Captain Zul Aaryan ini kerana tidak semua penerbangan melalui langit yang cerah, begitu juga perjalanan Zul Aaryan dan Zara Andrea,” katanya.
Sarat Emosi
Sementara itu, Anna Jobling berkata kekuatan drama ini bukan hanya terletak pada kisah romantik semata-mata, sebaliknya perjalanan emosi kedua-dua watak utama.
“Hubungan Zul Aaryan dan Zara Andrea tidak berubah dalam sekelip mata. Ia berkembang melalui pelbagai konflik, salah faham serta pengorbanan yang mengajar mereka tentang kepercayaan dan kasih sayang,” katanya.
Penggambaran Lebih Realistik
Bagi memberikan pengalaman lebih realistik kepada penonton, pengarah Nizam Zakaria memilih beberapa lokasi sebenar termasuk kokpit pesawat, hangar dan lapangan terbang sebagai lokasi penggambaran.
Selain disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3, drama ini turut boleh distrim menerusi platform iQIYI sejam selepas tayangan di televisyen.
GIPHY App Key not set. Please check settings