in ,

“Saya Kena Usaha Lebih” – Haikal Farid Akui Tak Mudah Kekal Relevan

Selepas hampir dua tahun menyepi tanpa karya baharu, penyanyi Haikal Farid akhirnya kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi single ketujuh berjudul Aku Klasik (Eh Ah).

Pada usia 27 tahun, Haikal atau nama penuhnya Mohamad Haikal Farid Rizal mengakui kemunculannya kali ini tampil dengan kelainan apabila mempertaruhkan karya yang jauh berbeza daripada lagu-lagu terdahulu.

“Alhamdulillah, proses daripada demo hingga rakaman berjalan lancar. Lagu ini agak berbeza daripada sebelum ini, jadi saya sangat teruja untuk melihat penerimaan pendengar, terutama peminat yang sentiasa menyokong saya,” katanya.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Haikal Farid kembali dengan single ketujuh, Aku Klasik (Eh Ah).

MENARIK
Lagu ini menampilkan sisi muzik berbeza berbanding karya-karya terdahulu.

ISTIMEWA
Muzik video melibatkan komuniti Orang Asli Bukit Lagong, Batu Caves.

TONTON
Lagu boleh didengari di semua platform digital sejak 8 Mei 2026.

Akui Cabaran Kekal Relevan

Sebagai penyanyi yang masih membina nama dalam industri, Haikal tidak menafikan antara cabaran terbesar adalah memastikan lagu baharu mampu mendapat perhatian pendengar.

Menurutnya, dalam era media sosial hari ini, seseorang penyanyi perlu lebih kreatif dalam mempromosikan karya mereka.

“Dari segi promosi, saya kena usaha lebih sedikit. Saya perlu hasilkan kandungan kreatif dan menggunakan lagu ini dalam pelbagai cara supaya terus relevan dalam industri yang dipenuhi bakat baharu. Saya yakin rezeki itu luas, kita cuma perlu terus mencuba dan percaya,” katanya.

Walaupun bekerja sepenuh masa sebagai Eksekutif Jualan, Haikal berkata minatnya terhadap muzik tidak pernah pudar.

“Menyanyi memang ada dalam diri saya. Apa pun kerja yang saya lakukan, muzik tetap akan sentiasa menjadi sebahagian daripada hidup saya,” ujarnya.

Muzik Video Angkat Komuniti Orang Asli

Selain mempertaruhkan lagu yang berbeza, muzik video Aku Klasik (Eh Ah) turut membawa kelainan apabila melibatkan komuniti Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Bukit Lagong, Batu Caves.

Menurut Haikal, pengalaman tersebut menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang penggambaran apabila penduduk kampung bukan sahaja membantu menjayakan penggambaran, malah bergotong-royong menyediakan juadah tradisional kepada seluruh kru produksi.

Katanya, hidangan seperti nasi dan ayam yang dimasak di dalam buluh menjadikan pengalaman itu lebih istimewa di samping memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Orang Asli.

Harap Dapat Tarik Pendengar Baharu

Haikal berharap Aku Klasik (Eh Ah) dapat membuka ruang kepada lebih ramai pendengar untuk mengenali muziknya.

“Saya harap lagu ini dapat memberikan sesuatu yang baharu untuk didengar dan orang ramai boleh ‘catch’ serta menyukai Aku Klasik (Eh Ah),” katanya.

Single Aku Klasik (Eh Ah) dilancarkan secara rasmi pada 8 Mei 2026 di semua platform penstriman digital bersama muzik video rasmi di saluran YouTube NSR Malay.

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Fikry Kiki, Ku Yen dan Rudy Nastia, yang turut bertanggungjawab menghasilkan lirik.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Rambut Kini Jadi ‘Fashion Statement’?