New Delhi, India – Malaysian Craft Council (MCC) mencatat satu pencapaian penting di peringkat antarabangsa apabila berjaya dipilih untuk menganggotai Badan Penilai di bawah Konvensyen UNESCO 2003 bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara bagi penggal 2026 hingga 2029.
Pemilihan ini dibuat menerusi proses undian dan diumumkan secara rasmi semasa Sesi ke-20 Jawatankuasa Antara Kerajaan (Intergovernmental Committee – IGC) yang berlangsung di New Delhi, India, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kelompok negara yang memainkan peranan langsung dalam penilaian warisan budaya tidak ketara dunia.
Pelantikan ini menandakan pengiktirafan terhadap kepakaran, pengalaman serta komitmen berterusan Malaysia, khususnya melalui MCC, dalam usaha memelihara dan memperkasa warisan budaya yang berasaskan komuniti dan kelestarian.
Malaysian Craft Council (MCC), organisasi advokasi industri kraf Malaysia.
APA
Dipilih menganggotai Badan Penilai Konvensyen UNESCO 2003.
BILA
Penggal 2026 hingga 2029.
DI MANA
Pemilihan diumumkan di New Delhi, India.
MENGAPA
Pengiktirafan terhadap kepakaran dan peranan MCC dalam pemeliharaan warisan budaya tidak ketara.
BAGAIMANA
Melalui proses undian semasa Sesi ke-20 Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO.
Peranan Dalam Penilaian Warisan Dunia
Menurut Setiausaha Kehormat MCC, Arja Lee, pelantikan ini membolehkan MCC terlibat secara langsung dalam proses penilaian pencalonan dan permohonan yang dikemukakan oleh Negara-Negara Anggota UNESCO.
Sebagai anggota Badan Penilai, MCC akan terlibat secara langsung dalam proses penilaian pencalonan ke Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO serta permohonan Bantuan Antarabangsa
Arja Lee, Setiausaha Kehormat MCC
Beliau turut menegaskan bahawa peranan ini dilaksanakan secara telus dan berlandaskan garis panduan ketat di bawah Konvensyen UNESCO 2003.
“Setiap penglibatan MCC dilaksanakan secara bebas dan profesional, selaras dengan prinsip ketelusan, keadilan serta integriti yang digariskan oleh UNESCO,” tambahnya.

Komitmen Malaysia Terhadap Warisan Budaya Tidak Ketara
Penyertaan MCC dalam Badan Penilai ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong perlindungan warisan budaya tidak ketara yang berasaskan komuniti dan kelestarian. Pendekatan ini selari dengan prinsip UNESCO yang menekankan warisan budaya sebagai amalan hidup yang terus berkembang, diwarisi dan diamalkan oleh masyarakat.
Pelantikan ini juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik dalam perbincangan dan penilaian warisan budaya di peringkat global, khususnya dalam memastikan keseimbangan antara pemeliharaan tradisi dan perkembangan semasa.
Penghargaan & Sokongan Pelbagai Pihak
MCC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO serta semua Negara Anggota atas kepercayaan yang diberikan. Penghargaan turut ditujukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia untuk UNESCO, Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO, serta Kementerian Luar Negeri Malaysia atas sokongan dan kerjasama berterusan.
Dengan mandat baharu ini, MCC komited untuk melaksanakan tanggungjawab secara amanah dan profesional, sambil terus menyumbang kepada usaha global dalam memastikan kelangsungan warisan budaya tidak ketara untuk generasi akan datang.

Latar Belakang Malaysian Craft Council
Malaysian Craft Council (MCC) ialah sebuah organisasi bukan kerajaan yang bertindak sebagai agen advokasi bagi memacu pertumbuhan industri kraf negara. MCC mewakili pelbagai kategori kraf serta seni persembahan, dan berperanan sebagai jambatan strategik antara pemain industri dalam memposisikan kesenian Malaysia di peringkat antarabangsa.
MCC telah dilantik sebagai NGO bertauliah UNESCO pada tahun 2024, selain menjadi ahli National Entity bagi World Craft Council, mengukuhkan lagi peranannya dalam ekosistem kraf dan budaya global.



GIPHY App Key not set. Please check settings