Penyanyi muda berbakat dari Padang, Indonesia, Puspa Indah, melangkah lebih jauh dalam kerjaya muzik serantaunya dengan pelancaran semula lagu klasik ‘Madah Dan Kerenah’, karya ciptaan dua tokoh legenda, M. Nasir dan S. Amin Shahab.
Lagu yang pernah dipopularkan oleh Ramlah Ram pada era 1980-an dan 1990-an ini kini diberi nafas baharu melalui interpretasi vokal Puspa Indah yang lembut namun bertenaga, disesuaikan dengan citarasa pendengar masa kini tanpa mengorbankan jiwa asal lagu.
Saya berbangga diberi kepercayaan untuk membawakan lagu ini, apatah lagi ia merupakan hasil ciptaan dua seniman besar, M. Nasir dan S. Amin Shahab. Projek ini adalah satu langkah penting dalam perjalanan kerjaya saya
Puspa Indah Armydea
Puspa Indah, penyanyi muda dari Padang, Indonesia.
APA
Pelancaran semula lagu klasik ‘Madah Dan Kerenah’.
BILA
Disember 2025.
DI MANA
Malaysia dan Indonesia melalui platform digital.
MENGAPA
Untuk menghidupkan semula karya ikonik dengan pendekatan moden.
BAGAIMANA
Melalui produksi baharu oleh Luncai Emas dan Dua Suara Media.
Kerjasama Rentas Negara
Remake ‘Madah Dan Kerenah’ ini diterbitkan oleh Luncai Emas di Malaysia, manakala pengedarannya di Indonesia dilakukan menerusi kerjasama dengan Dua Suara Media. Idea penghasilan semula lagu ini tercetus melalui kolaborasi antara Luncai Emas dan produser dari Padang, Hardo Maret, dalam satu projek rakaman khas.
Pemilihan Puspa Indah dibuat berdasarkan keunikan vokalnya yang dinilai sesuai untuk membawakan lagu ini dalam versi lebih segar dan relevan untuk pasaran semasa.

Produksi Moden, Jiwa Asal Dikekalkan
Proses rakaman audio dan video muzik dijalankan di Padang, Sumatera Barat, dengan sentuhan produksi moden oleh Hardo Maret bersama pasukannya, termasuk Ibel Santano, Iwan Romeo dan Rozac Tanjung. Walaupun menggunakan pendekatan kontemporari, elemen emosi dan kekuatan melodi asal lagu tetap dikekalkan.
Video muzik pula dirakam di jeti perairan Bungus, Sumatera Barat, oleh Limbago Team, menampilkan visual yang sederhana tetapi selari dengan mood lagu.
Mengangkat Karya Legenda Nusantara
Pelancaran semula lagu ini turut mengukuhkan usaha membawa karya komposer Malaysia ke pasaran serantau. Antara lagu ciptaan M. Nasir dan S. Amin Shahab di bawah hak cipta Luncai Emas yang pernah mencipta fenomena di Indonesia termasuk ‘Tiara’, ‘Suci Dalam Debu’ dan ‘Isabella’.
Dengan pelancaran semula ‘Madah Dan Kerenah’ versi Puspa Indah di Malaysia dan Indonesia, kami berharap lagu ini mampu mencipta kejayaan baharu dan kembali dekat di hati pendengar
Datuk M. Nasir, pengasas dan pemilik Luncai Emas.
Single ‘Madah Dan Kerenah’ kini boleh ditonton menerusi YouTube Dua Suara Media, manakala versi audio penuh tersedia di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.



GIPHY App Key not set. Please check settings