in

“Murah” Jadi Isu? Ini Penjelasan Maya Karin Tentang Kostum Duyung

Pelakon, Maya Karin, tampil mempertahankan keputusan visual dalam filem fantasi terbaharu Duyung: Lagenda Aurora selepas wujud dakwaan netizen yang menyifatkan kostum duyung dalam trailer kelihatan terlalu ringkas dan ‘murah’.

Menurut Maya Karin, pemilihan kostum bukan dibuat secara rawak atau sekadar mengikut trend visual semasa, sebaliknya melalui perbincangan mendalam bersama pihak produksi dengan mengambil kira keselesaan, praktikaliti dan konsep dunia laut yang ingin dipaparkan.

🌊 Isu Kostum Duyung Jadi Perhatian
  • Kostum Duyung dikritik netizen selepas trailer dilancarkan
  • Maya Karin jelaskan pemilihan dibuat atas faktor keselesaan & praktikal
  • Pendekatan visual kali ini lebih ceria berbanding versi terdahulu
  • Warna laut diseimbangkan dengan ikan & batu karang
  • Produksi mahu mudahkan pergerakan pelakon & kru
  • Duyung dalam filem ini boleh berjalan di darat & berenang
  • Perbandingan dengan filem lama cetus perdebatan netizen
  • Filem mula ditayangkan 25 Disember 2025

“Untuk filem Duyung sebelum ini, pendekatannya lebih natural dan realistik, tetapi kostumnya sangat berat dan mencabar untuk dipakai,” – Maya Karin ketika ditemui F8Buzz di sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 37

Kali ini, pasukan produksi memilih jalan yang memastikan rekaan kekal menarik secara visual tanpa mengorbankan pergerakan pelakon dan kelancaran penggambaran.

Maya menambah, warna laut dalam filem ini sengaja dibuat lebih ceria agar selari dengan persekitaran bawah laut seperti ikan, batu karang dan elemen semula jadi lain.

“Kami mahu warna laut itu hidup. Seimbang dengan ikan, batu karang dan dunia fantasi yang dibina,” – katanya.

Lebih menarik, Duyung: Lagenda Aurora turut memperkenalkan kelainan yang jarang diterokai dalam kisah duyung tempatan di mana watak duyung bukan sahaja berenang di laut, malah mampu berjalan di darat, memberikan dimensi baharu kepada jalan cerita.

Sebelum ini, segelintir penonton meluahkan rasa kurang puas hati selepas trailer filem tersebut dilancarkan, malah ada yang membandingkannya dengan filem duyung terdahulu yang dianggap lebih realistik dari segi rekaan kostum.

Namun bagi Maya, setiap karya mempunyai pendekatan tersendiri, dan apa yang ditampilkan kali ini adalah hasil kompromi kreatif demi pengalaman sinematik yang lebih segar.

Duyung: Lagenda Aurora dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 25 Disember 2025, menampilkan barisan pelakon popular termasuk Anna Jobling, Maya Karin, Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda.

Ditulis oleh Ezza Azira

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Umairah Ukir Sejarah ABPBH37, Dinobat Pemenang Termuda Pada Usia 14 Tahun

Bukan Countdown Biasa: TV AlHijrah Pilih Seni & Dakwah Sambut Ambang Tahun