Dalam inisiatif memperkasakan kembali seni tradisional kepada masyarakat, figura terkenal dunia Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Noraniza Idris bakal menganjurkan Konsert Eh Raya 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 26 April ini di Summit USJ.
Acara yang akan dibuka secara percuma kepada orang ramai ini bukan sekadar menghidangkan persembahan lagu-lagu raya, malah turut menawarkan pelbagai aktiviti seni dan budaya sepanjang hari di pusat beli-belah tersebut.
Antara aktiviti menarik yang bakal memeriahkan acara termasuklah Bengkel Zapin & Ronggeng Selangor, pertandingan tarian kreatif, serta pelbagai program berunsur tradisi seperti Rewang Raya, Malam 7 Likur, Pagi 1 Syawal dan perarakan makanan warisan Bugis.
Lebih daripada sebuah konsert muzik, acara ini akan menampilkan elemen rumah terbuka Aidilfitri dalam bentuk persembahan sketsa, tarian dan nyanyian, menjadikannya satu pengalaman unik buat para pengunjung.
Noraniza Idris sendiri akan memainkan peranan utama sebagai watak Che Ani dan turut mengendalikan konsert selama dua jam itu bersama gandingan pengacara seperti Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah.
Berkongsi mengenai penganjuran acara ini, Noraniza mendedahkan bahawa idea untuk merealisasikan konsert ini timbul sekitar Januari lalu.
“Kalau hendak buat konsert berbayar, kosnya agak tinggi. Jadi saya ambil pendekatan untuk buat secara percuma, demi memberi sesuatu kepada masyarakat. Namun begitu, kami tidak bergerak sendiri. Ramai pihak yang turut serta membantu menjayakan acara ini,” – Noraniza Idris
Tambahnya lagi, program ini bertujuan memberi peluang kepada masyarakat umum, termasuk pelawat bukan beragama Islam, untuk mendalami keunikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dari pelbagai aspek.
“Kita mahu tunjukkan budaya dan tradisi kita — dari makanan, adat hingga hiburan. Mungkin ada dalam kalangan anak muda hari ini yang tak tahu apa itu malam tujuh likur. Jadi, acara ini boleh jadi ruang pembelajaran secara santai buat mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, wakil daripada pihak penganjur bersama, Jeffri Iman Hoodi dari NIPV Management menyatakan bahawa mereka menjangkakan kehadiran lebih 5,000 orang pengunjung sepanjang berlangsungnya konsert.
“Fokus utama kami ialah mewujudkan suasana Hari Raya dalam bentuk hiburan yang bersifat mesra keluarga, tradisional namun tetap relevan dengan citarasa moden dan terbuka kepada semua golongan masyarakat.
“Kami juga mahu mengangkat semula warisan seni budaya yang kian dilupakan, serta memberi ruang kepada generasi muda untuk mengenali dan mencintai akar seni budaya mereka sendiri,” jelasnya.
Majlis pelancaran rasmi konsert ini nanti bakal disempurnakan oleh Penaung Noraniza Idris Dance Academy (NIDA), Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman AlHaj.
Konsert Eh Raya 2025 ini turut mendapat sokongan padu dari pelbagai pihak termasuk Summit USJ sebagai penaja lokasi, Tourism Selangor sebagai rakan promosi, Dewan Bahasa dan Pustaka selaku penaja hadiah, serta kerjasama erat dari Persatuan Tatihseni Malaysia, CHE ANI PREMIUM, NAJAH dan NIDA yang menjadi tulang belakang penganjuran keseluruhan acara.
GIPHY App Key not set. Please check settings