Kejutan tercipta pada Anugerah Juara Lagu ke-39 apabila lagu Hening Rindu dendangan Marsha Milan ciptaan Ikhwan Fatana dan Wan Saleh’ dinobatkan sebagai juara sekaligus membawa pulang wang tunai RM100,000 beserta trofi.

Naib juara pula disandang oleh lagu Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera Zaini ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh.
Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh lagu Saksama dendangan kumpulan Akim & The Majistret ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik.
Ernie Zakri berjaya merampas kembali trofi Vokal Terbaik menerusi persembahan hebat menyampaikan lagu Aura.

Aina Abdul pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila dia berjaya menenangi anugerah Persembahan Terbaik empat tahun berturut-turut menerusi lagu Puas Sudah.
Kesemua persembahan 10 finalis AJL-39 telah diadili oleh sembilan juri profesional yang diketuai oleh Edry Abdul Halim. Diikuti oleh LY, Ad Samad, Ahmad Izham Omar, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Hattan, Fauziah Latiff, Siti Hajar dan Edrie Hashim.
Menurut ketua juri, Edry Abdul Halim, kelebihan lagu Hening Rindu adalah daripada sudut teknikal lagu tersebut.
“Banyak elemen muzikal dalam lagu tersebut yang membantu untuk dapat markah lebih. Kekuatan vokal Marsha juga membantu mencantikkan lagi lagu itu,”
– Edry Abd Halim
Sementara itu, bagi Marsha pula, kemenangan di pentas AJL39 sebagai juara merupakan kenangan termanisnya selama 20 tahun bergelar penyanyi.

“Sejujurnya sehingga detik ini saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya masih terkejut. Saya cuma ingin meluahkan rasa syukur ke hadrat ilahi.
– Marsha Milan
“Terima kasih kepada semua yang bersama-sama dengan saya selama 20 tahun. Juga kepada pencipta lagu Hening Rindu.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Akim dan Stacy kerana mereka yang membuka jalan saya dalam AJL menerusi lagu Cinta,” katanya dalam nada sebak.
AJL39 telah berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil dan dihoskan oleh Naz Rahman dan Sissy Iman.
Kuala Lumpur • 16 Februari 2025



GIPHY App Key not set. Please check settings