Grand Brilliance Studio, dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran, mempersembahkan filem komedi seram “Saka Perawan” yang akan ‘merasuk’ pawagam tempatan seluruh Malaysia bermula 27 Jun 2024.
Diarah dan diterbitkan oleh Dr. Ahmad Idham, seorang sutradara terkenal dengan karya-karya pecah panggung, “Saka Perawan” telah mengundang keterujaan penonton dengan gabungan pelakon komedi lama dan baharu, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
Filem ini menampilkan ramai pelakon legenda komedi dan juga baharu seperti Azlee Senario, Yassin Senario, Datuk Hajah Fauziah Nawi, Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nidzam, Afieq Shazwan, Dato’ Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Man Raja Lawak, Atu Zero, Mamak Puteh, Anne Abdullah dan Zalif Sidek.
Filem “Saka Perawan” berkisar tentang Nek Aminah, yang berusia 80 tahun, mengalami penyakit misteri yang membuat anak dan cucunya bingung. Keadaannya semakin teruk selepas Maghrib tetapi kembali normal setiap pagi. Anak perempuannya, Rusila (Wilma Muhammad), memanggil ketiga-tiga cucu perempuannya (Sophia Albarakbah, Isyariana, Nelissa Nidzam) pulang ke kampung.
Mereka mendapati nenek mereka memiliki warisan saka yang perlu diturunkan kepada cucu-cucunya yang masih perawan agar nenek boleh pergi dengan tenang. Kekecohan dan pelbagai kebenaran mula terbongkar. Adakah ustaz muda (Afieq Shazwan) mampu menyelesaikan masalah ini dan mengembalikan ketenangan kampung?
Filem ini menyatukan elemen seram yang mendebarkan dan komedi yang menggelikan hati serta unsur kemasyarakatan. Dr. Ahmad Idham, pengarah dan penerbit, menyatakan bahawa genre komedi seram ini adalah kegemarannya, menekankan gabungan pelawak dan artis bukan pelawak dalam cerita seram berlatarkan masyarakat Melayu di kampung mengenai pembelaan saka.
Runut bunyi filem ini, “Saka Perawan,” dinyanyikan oleh kumpulan Floor 88 dengan penampilan khas Azlee dan Yassin Senario, dihasilkan oleh Zai Hamzah, gitaris Floor 88. Lagu ini diinspirasikan oleh jalan cerita filem mengenai nenek yang mempunyai dua pendamping dan sering bersenandung lagu ‘air pasang pagi.’ Lagu ini boleh dimuat turun di platform digital seperti iTunes, Spotify, dan Apple Music.
Beliau juga menambah bahawa kehadiran pelakon legenda dan baharu membantu menyeimbangkan dinamik watak-watak, menjadikan sisi kelakar setiap pelakon terserlah secara semula jadi. Harapannya, dengan kehadiran pelakon hebat tanah air, filem ini akan diterima ramai dan menarik penonton untuk menyaksikan “Saka Perawan” yang bakal merasuki pawagam pada 27 Jun ini.
GIPHY App Key not set. Please check settings