Stesen radio berbahasa melayu, Suria FM telah melancarkan Karnival Mega Suria buat pertama kali yang bakal diadakan pada 16 sehingga 17 September 2023 bertempat di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor.
Ujar Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin atau Roslinda Abdul Majid, dia menyatakan acara tersebut diadakan adalah bertujuan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang tidak berhenti menyokong stesen radio tersebut.

Tambahnya, acara terbabit turut bertujuan untuk menambahkan lagi jumlah pendengar Suria FM dari pelbagai peringkat umur serta akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik menerusi karnival itu.
“Suria FM kembali turun padang menemui peminat dengan sentuhan yang berbeza menerusi Karnival Mega Suria 2023 yang bakal berlangsung selama 2 hari hasil kerjasama Suria dengan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Acara ini diadakan sebagai tanda terima kasih buat semua pendengar di atas sokongan padu yang mereka berikan selama ini terutama siri Jelajah Suria yang sentiasa dinantikan oleh peminat pada setiap tahun.
“Kami ingin meluangkan lebih banyak masa bersama pendengar setia Suria FM menerusi aktiviti luar, jadi kami akan berkampung selama 2 hari menyajikan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan kekeluargaan yang pastinya menghiburkan pengunjung dari pagi hingga ke malam.
“Kali pertama kami menganjurkan karnival berskala besar seumpama ini, ianya bertujuan untuk menghiburkan semua masyarakat khususnya pendengar Suria sekaligus meluaskan sasaran pendengar Suria FM ke semua lapisan umur,” jelasnya.
Barisan Artis Yang Hadir


Sementara itu, karnival itu akan berlangsung seawal jam 7 pagi dan akan sarat dengan pelbagai aktiviti seperti gerai makanan, persembahan istimewa dari barisan artis baharu (BBNU), senaman zumba, sesi busking, permainan kanak-kanak, sukan rakyat, pertandingan mewarna, karaoke dan pelbagai lagi.
Lebih menarik lagi, acara kemuncak Konsert Karnival Mega Suria yang akan berlangsung pada 9 malam bakal dihiburkan oleh 20 artis popular seperti Bunkface, Dayang Nurfaizah, Masdo, Dolla, Floor 88, Aris Ariwatan, Amir Masdi & The Band dan ramai lagi khas untuk pengunjung yang bakal tiba.

Tidak tinggal juga dengan penampilan istimewa barisan penyampai radio Suria FM, Shuib, Ajak, Suraya Borhan, Feeya Iskandar (Cik Piah), Sharifah Shahirah (Rara), Tyzo Xander dan DJ Lin.
Dalam pada itu, DJ Lin memaklumkan acara percuma itu akan menghadiahkan ganjaran RM10,000 untuk pengunjung yang membeli-belah di booth Suria dan dia turut mengharapkan mendapat respon yang terbaik untuk karnival tersebut.
“Selain itu, wang tunai sebanyak RM10,000 turut menanti pengunjung menerusi ‘Tangkap Duit Suria’ caranya dengan membeli barangan eksklusif Suria minima pembelian sebanyak RM150 di booth Kedai Suria sepanjang acara berlangsung.
“Kami mengharapkan Karnival Mega Suria mendapat sambutan baik dari semua pihak dan orang ramai dijemput hadir bersama seisi keluarga bagi memeriahkan acara secara percuma ini,” jelasnya.
Tentatif Karnival Mega Suria FM


Di samping itu, pembuka tirai karnival Suria FM bakal diwarnai dengan Himpunan Basikal Lipat Kebangsaan yang menganjurkan acara kayuhan Fun Ride Mega Suria pada 26 Ohos 2023, bertempat di Serambi Teruntum, Kuantan, Pahang dan akan bermula seawal 7 pagi.
Objektif acara itu adalah untuk meraikan juga sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Untuk info, layari laman web Suria suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia:
Instagram: suriamalaysia l Facebook: @SuriaMalaysia l TikTok: @suriamalaysia l Youtube: SuriaTV l Twitter: @suria_malaysia
GIPHY App Key not set. Please check settings