in ,

Siti Nurhaliza Terharu Perdana Menteri Puji Lagu Nyanyiannya Untuk Filem ‘Anwar : The Untold Story’

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa terharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji lagu nyanyiannya untuk runut bunyi filem Anwar, The Untold Story.

Siti ketika ditemui usai majlis tayangan perdana filem berkenaan di ibu kota berkata dia sendiri tidak menyangka akan ditawarkan untuk menyanyikan lagu tema bagi filem ini yang berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan Sekar Ayu Asmara.

“Saya sangat bersyukur apabila Perdana Menteri kita sendiri puji dan berpuas hati dengan lagu ini. Saya segan sebenarnya.

“Ketika merakamkan lagu ini, keadaan saya tidak berapa sihat. Suara saya lebih serak daripada sekarang. Tetapi saya cuba berikan yang terbaik.

“Alhamdulillah pencipta lagu ini iaitu Andi Rianto sangat gembira dengan hasilnya walaupun saya rasa saya boleh buat dengan lebih baik. Andi suka suara saya ketika itu kerana kedengaran seperti merintih. Kena dengan emosi yang dia mahukan untuk lagu ini,” katanya. 

Kongsi Siti lagi, bagi menghayati lagu ini, dia meminta untuk menonton filem ini terlebih dahulu sebelum masuk ke studio rakaman.

“Selepas saya tonton filem ini, barulah saya dapat mendalami emosi Datin Seri Dr Wan Azizah yang merupakan seorang isteri yang banyak bersabar dan menahan perasaan untuk mencapai tahap seperti sekarang,” ujarnya yang akan turut memuatkan lagu ini di dalam album terbarunya nanti.

Bagi Andi Rianto pula, dia sangat berbangga apabila dapat berkolaborasi bersama Siti untuk menghasilkan lagu ini.

“Impian saya untuk menulis lagu buat Siti akhirnya tercapai. Saya mengenali beliau sebagai seorang penyanyi yang hebat. Beliau sangat mengagumkan sewaktu berada di dalam studio. Dia menyanyikan lagu ini dengan sangat indah dan hanya dalam masa satu jam sahaja,” katanya.

Terdahulu sewaktu sesi sidang media bersama Anwar, beliau memuji kehebatan lagu serta persembahan Siti menyampaikan lagu ini dengan berkesan.

“Lagu tema nyanyian Siti Nurhaliza sangat ‘powerful’. Lirik, lagu dan persembahannya sangat luar biasa. Ia sangat menyentuh perasaan. Walaupun saya baru dengar hanya secebis, tetapi ia merupakan lagu yang sangat mengesankan,” katanya.

Filem Anwar, The Untold Story telah diarahkan oleh sutradara dari Indonesia iaitu Viva Westi menampilkan Farid Kamil sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Acha Septriasa sebagai Datin Seri Dr Wan Azizah dan Hasnul Rahmat sebagai Tun Mahathir.

Filem ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei 2023.

Ditulis oleh Miki Mukarami

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Ketua Pemuda PAS Kelantan Tulis Surat Terbuka Buat Khairul Aming Kerana Beli Tiket Konsert Coldplay

Jarang Menangis, Tiba-Tiba Air Mata Scha Al Yahya Tumpah Saat Bercerita Tentang ….