Pelawak, Shuib Sepahtu menyatakan dia tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai dirinya keluar dari kumpulan Sepah dan Sepahtu.
Menurut Shuib dia tidak kisah untuk menggunakan nama Sepahtu atau namanya sahaja kerana dia percaya nama kumpulan tersebut merupakan pembawa rezeki untuknya.
“Sepanjang dalam industri saya tak pernah nyatakan. Dulu pun saya tak pernah cakap saya keluar dari kumpulan Sepah sama juga saya tak pernah kata yang saya keluar dari kumpulan Sepahtu.
“Saya tahu itu nama yang bawa rezeki kepada saya. Kalau nak panggil saya Shuib Sepahtu boleh nak panggil Shuib saja pun boleh juga. Cuma bila saya dalam program itu nama saya berat ke sebelah sana lah.
“Saya masih berkawan dengan mereka, saya tidak ada masalah pun. Saya kawan dengan Rahim, kawan dengan Jep, kawan dengan Pakya,” katanya.
Walaupun sudah lama tidak beraksi di gelanggang yang sama, namun penyampai radio itu terbuka untuk membuat program bersama Sepahtu.
“Saya dan Sepahtu masih terbuka untuk buat program bersama. Saya meletakkan Sepahtu Reunion sebagi program yang paling terbaik saya pernah buat dan sekarang pun masih lagi saya rasa program yang paling terbaik saya pernah tengok.
“Cuma mungkin kadang-kadang nak buat tu ada yang saya tengah fikirkan perkara-pekara yang membuatkan saya tak buat benda-benda tu.
“Ada rezeki saya akan kesana juga sebab itulah program atau gelanggang yang saya main paling seronok.
“Saya main di gelanggang itu selama 5 tahun, saya rasa dah dekat 100 lebih episod saya buat kat situ.
“Itu sebab bila dengan Ubi Supestar ada angin baru, kawan baru, suasana baru, apa salahnya kita buat,” jelasnya lagi.
Shuib berkata demikian sewaktu ditemui di sidang media Ubi Superstar Live yang berlangsung di Mighty Monster MyTOWN, Kuala Lumpur.
Muncul sebagai pemain di dalam gelanggang Ubi Superstar Live, Shuib menerima pelawaan untuk turut serta di dalam program tersebut kerana sudah lama berehat dan memang mengimpikan untuk beraksi bersama rakan-rakan pelawak yang lain.
“Dalam hidup ni kita tak pernah jangka apa yang akan berlaku.
“Produser hubungi saya untuk pelawa saya sertai program tersebut. Produser pula saya dah kenal lama dah masa saya raja lawak hari tu jadi saya senang bekerja dengan dia.
“Bila dia tawarkan tu rasa macam menarik pula bila diterangkan mengenai konsep apa semua.
“Maka saya terbuka hati sebab saya pun dah lama berehat dan saya memang dari dulu nak bekerjasama dengan Fad, Sharif dan Ajak.
“Bila ada peluang macam ni, saya pun setuju walaupun saya tahu akan ada banyak persoalan tentang kenapa saya tidak ada dekat program lain.
“Antara sebab yang lain, saya nak tukar angin,” ujarnya.
Juara Muzikal Lawak Superstar musim ketiga, Ubi kembali dengan rancangan komedi terbitan Astro iaitu Ubi Superstar Live yang menampilkan dua pelawak terkenal iaitu Shuib Sepahtu dan Ajak Shiro.
Bersiaran sebanyak empat episod, Ubi Superstar Live akan mula ditayangkan pada 23 Februari ini di Astro Warna.
GIPHY App Key not set. Please check settings