Filem kontroversi, Pulau diharamkan oleh kerajaan negeri Terengganu dari ditayangkan di pawagam-pawagam negeri tersebut.
Menurut penerbit filem Pulau, Fred Chong, tindakan tersebut diambil atas alasan filem tersebut mengandungi adegan-adegan keterlaluan.
Tindakan tersebut dapat memberi impak yang negatif kepada filem tersebut kerana ulasan telah dibuat namun orang ramai masih belum menonton filem tersebut.
“Alasan mereka filem itu mengandungi adegan-adegan yang keterlaluan. Walhal, belum ada sesiapa lagi yang menonton filem itu.
“Semalam Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) memaklumkan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan penayangan filem Pulau di sana.
“Saya tak tahu selepas ini negeri mana pula yang akan mengikut langkah mereka. Saya rasa ini adalah langkah yang berbahaya kerana bermula dari tiga pawagam, mungkin boleh menjadi 30 atau 60 pawagam selepas ini. Bagi saya, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Fred walaubagaimanapun telah mengemukakan surat rayuan beserta surat sokong daripada Finas kepada kerajaan Terengganu serta menayangkan filem tersebut kepada mereka terlebih dahulu.
“Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan mencadangkan kepada mereka, untuk saya ke sana bersama wakil dari TGV serta Finas, dan menayangkan filem itu kepada mereka.”
“Dari situ, mereka sendiri boleh menilai sama filem itu sesuai ditayangkan atau tidak kerana filem ini sudah mengikut prosedur penapisan yang sepatutnya.
“Sekiranya saya mendapat maklum balas daripada pihak sana, saya sanggup ke sana pada Isnin ini untuk menayangkan filem itu kepada mereka,” katanya.
Filem Pulau menelan belanja hampir RM4 juta menurut Fred dan kerugian mencecah RM500,000 kerana penaja menarik diri.
Fred berharap agar warganet menonton filem itu terlebih dahulu dan memohon agar mereka menghentikan gesaan pengharaman terus filem genre seram itu.
Terdahulu, treler filem Pulau mencetuskan kontroversi apabila penonton mendakwa terdapat adegan berunsur lucah yang membariskan pelakon-pelakon seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Namron, Ikmal Amry dan model Ms Puiyi.
GIPHY App Key not set. Please check settings