PUTRAJAYA, 7 Jan – Penarafan oleh majalah ‘International Living’ membuktikan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia telah dibangunkan dengan baik yang menawarkan perkhidmatan pada semua orang, pada kos berpatutan dan kompetitif dan kualitinya bertaraf dunia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan peraturan ketat dan tegas dilaksanakan untuk melindungi standard terbaik dari segi kualiti, keselamatan dan etika dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia secara menyeluruh dan pada masa sama kekal dapat diakses oleh semua orang yang memerlukannya.

Dalam kenyataan di sini, hari ini, beliau berkata kementerian amat berbesar hati dan mendapat dorongan dengan pengiktirafan itu dan akan meneruskan komitmen untuk menyediakan penjagaan kesihatan pada kualiti terbaik untuk pesakit.

Majalah bulanan itu menerbitkan artikel mengenai ‘Four Countries With The Best Healthcare In The World’ (Empat Negara Yang Menawarkan Penjagaan Kesihatan Terbaik Di Dunia), dan Malaysia diberikan kedudukan teratas dan diikuti Costa Rica, Colombia dan Mexico.

Ia melaporkan satu daripada kebimbangan setiap individu yang ingin bersara di luar negara ialah kualiti penjagaan kesihatan.

“Di setiap negara ini, anda akan dapati hospitalnya adalah bersih dan menawarkan perkhidmatan terbaik, doktor yang terlatih serta kos amat berpatutan,” menurut artikel itu.

Laporan itu boleh dilayari di https://internationalliving.com/2017/01/4-countries-best-healthcare-world.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini