KUALA LUMPUR, 10 Jan – Kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah, itu selepas diumumkan selaku pemenang di majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, awal pagi ini.

Faiz Subri menerima Anugerah Puskas awal pagi tadi.

“Tahniah Faiz Subri memenangi FIFA PUSKAS Award 2016. Alhamdulillah berkat usaha membuahkan hasil, harumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya dalam catatan di laman Twitternya.

Jaringan menarik Mohd Faiz itu menerima undian sebanyak 59.46 peratus mengalahkan dua lagi calon – Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, 10.01 peratus.

Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari