in

“Bella Yang Menyelamatkan Dirinya Sendiri” – Syed Saddiq Tegaskan Isteri Wanita Kuat

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tindakannya mempertahankan isteri, Bella Astillah daripada tanggapan negatif orang ramai bukan bertujuan mencetuskan kontroversi, sebaliknya dilakukan atas tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

Perkara itu disuarakan selepas beliau tampil menjawab pandangan segelintir pihak yang mempersoalkan keserasian pasangan berkenaan, termasuk dakwaan bahawa mereka tidak sekufu, menerusi ucapan pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), malam Ahad.

BUZZ RINGKAS


SIAPA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah

APA: Syed Saddiq mempertahankan isterinya daripada tanggapan negatif, manakala Bella meluahkan rasa terharu.

BILA: Majlis resepsi pada Ahad malam.

DI MANA: Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

MENGAPA: Syed Saddiq menganggap tindakan itu sebagai tanggungjawab seorang suami untuk memastikan isterinya berasa disayangi dan dihargai.

BAGAIMANA: Syed Saddiq menjawab kritikan secara terbuka dan menegaskan Bella ialah wanita berdikari yang tidak memerlukan penyelamat.

Tidak perlu berdiam diri dalam semua keadaan

Menurut Syed Saddiq, beliau memilih untuk memberikan respons apabila mempunyai peluang dan platform yang sesuai, terutama apabila perkara dibangkitkan menyentuh isterinya.

“Sudah tentu itu tanggungjawab saya sebagai suami. Pada masa sama, bukannya saya cakap benda yang tak betul. Itu fakta dan kebenaran.

“Walaupun kadangkala kita memilih untuk berdiam diri kerana tiada keperluan untuk memberi respons terhadap semua perkara, tetapi apabila saya ada peluang dan platform yang bersesuaian, saya akan respons.

“Itu tanggungjawab saya sebagai suami untuk membantu dalam apa juga cara yang saya boleh,” katanya.

Mengulas kecaman yang dilemparkan terhadap Bella, beliau menjelaskan perkara itu tidak diambil secara peribadi. Sebaliknya, keutamaan beliau adalah memastikan isterinya berada dalam keadaan gembira.

Syed Saddiq turut menyatakan bahawa isu berkenaan bukan perkara baharu kerana pelbagai pandangan sedemikian sudah timbul sejak tahun lalu.

“Kadangkala isteri tak perlu pun memberi respons. Ada masanya berdiam diri adalah jawapan terbaik, tetapi ada ketika saya sendiri perlu tampil mempertahankan isteri,” ujarnya.

Bella tidak tahu isi ucapan suami

Sementara itu, Bella mengakui tersentuh dengan ucapan yang disampaikan Syed Saddiq kerana tidak mengetahui lebih awal perkara yang bakal diperkatakan di hadapan tetamu.

Penyanyi dan pelakon itu berkata dia tidak pernah meminta suaminya mengeluarkan kenyataan atau mempertahankannya secara terbuka, memandangkan dirinya sudah terbiasa berhadapan dengan pelbagai pandangan masyarakat sepanjang bergelar selebriti.

“Saya memang tak tahu sebab dia tak beritahu apa ucapan yang nak diberikan.

“Saya rasa sangat terharu sebab lega ada orang yang sayang saya dan anak-anak dengan ikhlas serta mempertahankan saya. Itu sebenarnya jauh lebih cukup,” katanya.

Bagi Bella, perhatian umum terhadap kehidupan peribadinya merupakan sebahagian daripada realiti kerjaya sebagai anak seni. Namun, tindakan suaminya itu memberikan kelegaan kerana dia memahami bahawa Syed Saddiq tidak mahu melihatnya bersedih.

“Saya tak pernah terfikir atau meminta YB untuk keluarkan kenyataan atau pertahankan saya sebab saya rasa ini lumrah sebagai selebriti,” katanya.

“Saya faham dia tak nak saya sedih. Saya sangat gembira dan berterima kasih untuk itu. Alhamdulillah,” ujarnya.

Syed Saddiq tegaskan Bella wanita berdikari

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq menolak tanggapan bahawa Bella memerlukan seseorang untuk menyelamatkannya daripada kesukaran hidup.

Sebaliknya, beliau menyifatkan isterinya sebagai wanita yang kuat, tabah dan berdikari, selain berjaya membesarkan dua anaknya dengan baik sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

“Tanggapan yang Bella perlukan pertolongan atau diselamatkan adalah tidak benar.

“Realitinya saya tidak menyelamatkan Bella, Bella yang menyelamatkan dirinya sendiri. Dia sangat berdikari, kuat dan tabah.

“Tanpa saya pun dia berjaya membahagiakan dua anaknya dan memberikan pendidikan terbaik. Kalian sendiri dengar bagaimana Ayden berucap dengan begitu petah, itu semua hasil didikan Bella.

“Dia tak perlukan penyelamat kerana Bella boleh menjaga dirinya sendiri. Saya hanya tambahan, pelengkap kepada perasa,” katanya.

Pasangan itu diraikan dalam majlis resepsi yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu di MITEC. Mereka sebelum ini selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu dalam majlis akad nikah di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Baru Gegarkan Johor, Tiket Konsert Wali Band Di KL Pula Laris!