Kugiran legenda tanah air, Exists, bakal menggegarkan Kuala Lumpur menerusi penganjuran Konsert Exists Memento Mori yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil bermula jam 8.30 malam.
Konsert ini menjadi persembahan berskala besar selepas kali terakhir mereka tampil menerusi Konsert Exists Reunion pada tahun 2019 di Shah Alam dan Singapura.
Lebih istimewa, konsert ini kembali menggabungkan tujuh nama besar yang menjadi tulang belakang Exists iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along, Musa bersama dua vokalis mereka, Mamat dan Ezad.

Exists bersama pihak penganjur ICON Entertainment.
APA
Konsert Exists Memento Mori.
BILA
1 Ogos 2026, jam 8.30 malam.
DI MANA
Unifi Arena, Kuala Lumpur.
MENGAPA
Meraikan perjalanan 35 tahun Exists dalam industri muzik.
BAGAIMANA
Melalui konsert berskala besar bersama tujuh anggota utama dan lagu-lagu ikonik.

Lebih Daripada Sebuah Konsert
Memento Mori membawa maksud falsafah Latin yang mengangkat penghargaan terhadap setiap saat dalam kehidupan.
Dengan perjalanan Exists yang penuh jatuh bangun sejak lagu Untukmu Ibu menjadi fenomena sehingga kembali relevan dalam industri muzik, konsert ini menjadi simbol penghargaan terhadap legasi yang dibina selama 35 tahun.
Penganjur, ICON Entertainment melihat konsert ini sebagai satu manifestasi perjalanan seni Exists yang tidak pernah pudar.

Satukan Semula Tujuh ‘Kepala’
Menurut wakil ICON Entertainment, Iman Tang, bukan mudah untuk sesebuah kumpulan bertahan selama lebih tiga dekad dalam industri hiburan yang sentiasa berubah.
“Untuk mengekalkan usia 35 tahun dalam industri hiburan terutama beberapa dekad kebelakangan ini dengan pasaran yang tidak menentu bukan hal yang mudah.
“Tapi Exists, seperti maksud namanya wujud, kekal bertahan meski sempat redup kemudian menjadi relevan semula dalam pasaran bukan hanya kerana sikap tetapi karya-karya berkualiti yang pernah dihasilkan sebelum ini.
“Justeru ICON Entertainment sangat berbesar hati membawakan Konsert Exists Memento Mori pada 1 Ogos 2026 ini di Unifi Arena sebagai apresiasi dan menghargai setiap momen yang pernah dan sedang Exists hadirkan kepada peminat muzik di Nusantara,” katanya.

Lagu-Lagu ‘Sing Along’ Jadi Taruhan
Walaupun Exists sering muncul di pentas persembahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak penganjur memberi jaminan konsert kali ini akan menjadi sesuatu yang jauh lebih istimewa.
Menurut Iman, semua lagu yang dipilih untuk malam tersebut adalah lagu-lagu ikonik yang dekat di hati peminat.
“Kenapa kami kata Konsert Exists Memento Mori sebagai anugerah adalah kerana ia menggabungkan kesemua anggota asal Exists bersama vokalis pertama, Mamat dan vokalis yang meneruskan perjuangan kugiran ini pada fasa baharu iaitu Ezad.
“Dengan tujuh pemuzik yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam industri, kami percaya konsert ini adalah sebuah penganjuran wajib untuk mengingatkan peminat bahawa Exists merupakan salah sebuah kugiran terbaik yang pernah lahir di Malaysia,” katanya lagi.

Manifestasi Perjalanan Exists
Mewakili Exists, Along menyifatkan konsert ini sebagai sebuah persembahan besar yang membawa makna mendalam buat semua anggota kumpulan.
“Exists kekal wujud selama berdekad-dekad kerana setiap anggota memainkan peranan penting serta tidak pernah berputus asa menjadi pemain industri.
“Malah, walaupun ada dalam kalangan anggota Exists yang keluar lalu menubuhkan kumpulan lain atau Exists berdepan kontroversi berkaitan vokalis, semua anggota menghormati satu sama lain.
“Kami letakkan perbezaan pendapat dan peribadi di luar konteks pekerjaan sebagai pemuzik.
“Maka demi menghargai setiap momen hebat yang telah kami lalu, Konsert Exists Memento Mori adalah manifestasi perjalanan dan perjuangan kami selama ini,” katanya.
Musa turut menambah, “Wujud dalam nyata, senyap diamnya mengeriap ke dalam minda akhirnya.”

Harga Tiket & Jualan
Sebanyak tujuh kategori tiket ditawarkan kepada peminat dengan nama yang diinspirasikan daripada lagu-lagu popular Exists.
Antaranya ialah RM228 (Untukmu Ibu), RM288 (Mencari Alasan), RM328 (Langkah Seiringan), RM388 (Seperti Dulu), RM428 (Rahsia Pohon Cemara), RM488 (Percayakan Siti) dan RM5000 (Jesnita – Sofa Couple Seat).
Jualan tiket akan bermula pada 30 April 2026 jam 11 pagi menerusi platform Ticket2U.



GIPHY App Key not set. Please check settings