Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) telah memutuskan untuk mengubah skrip dan jalan cerita pementasan Teater Dang Anum (The Untold Story) supaya selaras dengan fakta sejarah sebenar yang selama ini kurang diketahui umum.
Menurut pengarahnya, Amirul Haswendy Ashari, langkah ini diambil kerana masyarakat telah lama diberi gambaran salah mengenai legenda Dang Anum dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Amirul menjelaskan bahawa Sultan Mahmud, sultan terakhir dari Kesultanan Melaka yang memerintah Johor Lama, sering digambarkan sebagai kejam dalam cerita rakyat, di mana kononnya beliau menghukum Dang Anum dengan membelah perutnya yang mengandung hanya kerana didakwa mencuri seulas nangka.
Namun, hasil dokumentasi khas di Kota Tinggi selepas pementasan tahun 2023 menunjukkan bahawa kisah tersebut adalah rekaan. Amirul berkata, Persatuan Sejarah Malaysia di Kota Tinggi, Johor telah mengungkapkan fakta sebenar melalui sesi temuramah eksklusif yang kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi The Redholah.”
“Selama ini, masyarakat telah diperkenalkan kepada kisah kekejaman Sultan Mahmud dan penderhakaan Laksamana Bentan melalui filem dan teater. Kami ingin membetulkan sejarah ini dan memberi pendedahan sebenar kepada masyarakat,”
Amirul Haswendy
Sukar Dapat Penaja
Amirul juga mengakui bahawa mereka sukar mendapatkan tajaan untuk pementasan Dang Anum (The Untold Story) kerana dana dari Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) adalah terhad.
“Walaupun kami sedikit kecewa dengan jumlah dana yang diterima, terutama kerana The Redholah baru memasuki tahun kedua penubuhan dan masih memerlukan sokongan yang lebih besar,” kata Amirul.
Pada masa yang sama, The Redholah akan menghasilkan dokumentasi khas siri kedua untuk meneroka lebih lanjut tentang Laksamana Bentan dan Dang Anum, termasuk pencarian pewaris keturunan di Kepulauan Riau dan Batam, Indonesia.
Pementasan Teater Dang Anum (The Untold Story) merupakan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) dan Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan dijadualkan berlangsung dari 27 hingga 29 September 2024 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.
Pementasan ini akan turut diadakan di Melaka, dan Johor Bahru pada bulan Oktober dan November.
Teater Dang Anum (The Untold Story) ini menampilkan pelakon seperti Ain Sufia, Along Eyzendy, Adam Shahz, Ain Sufia, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd, Md Husin, Karl Dannish, serta penampilan sulung Zalif Sidek di pentas teater.
Tiket akan mula dijual pada 25 Ogos 2024, dengan harga antara RM25 hingga RM65.
Untuk maklumat lanjut ikuti laman sosial The Redholah di Instagram, Facebook, dan TikTok, atau hubungi di talian 014 368 5233 atau emel ke theredholah@gmail.com.
GIPHY App Key not set. Please check settings