Penyanyi rap, Joe Flizzow tampil dengan lagu terbarunya Sunyi selepas dirinya mendapat ilham dari menikmati percutian di New York.
Walaupun New York terkenal dengan kesibukan bandarnya, namun ia bukan penghalang buat penyanyi kelahiran Johor ini merasa kesunyian.
“Ketika di New York, saya mendapat ilham sewaktu menginap di Times Square.
“Saya tidak selalu menginap disitu kerana ia merupakan tempat yang sangat sibuk.
“Tetapi saya ketika itu saya merasakan itu adalah momen yang sangat sunyi dan sepi sepanjang hidup saya.
“Keadaan itu memberi saya ilham untuk mencipta lagu ini,” ujar Joe.

Menurut Joe, ramai menyangka artis menjadikan populariti sebagai objektif utama dalam bergiat seni namun sebaliknya pelbagai cabaran dan rintangan perlu dihadapi demi mencapai kejayaan.
Dalam usaha mencapai kejayaan yang ingin dikecapi, perasaan sunyi juga turut hadir menyelubungi diri mereka.
Selain itu, Sunyi juga dititipkan khas buat arwah bapanya, Ishak Nengah yang meninggal dunia ketika Joe sedang mengharumkan nama Malaysia di persada seni.
“Banyak pengorbanan mereka (komuniti hip hop) lakukan, kehilangan insan-insan tercinta. Begitu juga saya yang kehilangan bapa, jadi lagu ini saya dedikasikan buat beliau juga.
“Kita berhak untuk berasa sedih dalam menghadapi liku-liku hidup dan semoga lagu ini mampu menjadi teman saat kesunyian. Ingatlah bahawa, akan sentiasa ada sinar di hujung kegelapan, Insya Allah,” katanya lagi.

Kini Sunyi boleh distrim di platform muzik digital dan muzik video boleh ditonton di YouTube Joe Flizzow.
GIPHY App Key not set. Please check settings