Sheila Mambo Bawa Puteri Gunung Sengkuang Ke Layar Perak

0
43

Dalam tempoh ekonomi masih belum stabil dan ramai yang terkesan dengan wabak COVID-19, My Asia Empire melancarkam produksi filem dan drama HSF Production (M) Sdn Bhd dengan pelantikan pelakon, Rusilawati atau lebih popular dikenali sebagai Sheila Mambo sebagai Pengarah Pengurusan Filem dan Drama.

Melalui perlantikan itu, satu-satunya karya Sheila Mambo, 57, yang telah dipendam sejak tahun 2006 akan dijadikan filem sulong HSF Production bertajuk “Puteri Gunung Sengkuang’, dijangka memulakan penggambarannya tahun hadapan.

Tentu korang akan tertanya-tanya kenapa begitu lama sungguh skrip filem tersebut disimpan Sheila?

“Saya tidak mahu melutut di tepi gantang dan menjualkan karya saya dengan harga yang murah sedangkan saya yang berhempas pulas menulisnya tetapi tidak dihargai,” ujar Sheila Mambo sewaktu ditemui pada majlis pelancaran HSF Production (M) Sdn Bhd di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur minggu lalu.

Menurutnya, memang ada produksi yang berminat dengan karya-karyanya tetapi mahu membelinya dengan harga yang dirasakan tidak masuk akal.

“Selama itu juga saya sukar mendapat penerbit yang sanggup berbelanja untuk merealisasikan karya saya, “ akui Sheila dalam nada kesal malah menyuarakan rasa kekesalan yang teramat apabila pelakon-pelakon sepertinya dipinggirkan berbanding pelakon muda yang memiliki jumlah pengikut yang ramai.

Sehubungan itu, Sheila melahirkan rasa syukur apabila Pengarah Urusan HSF Production (M) Sdn Bhd, Dato Mohammad Faizal Abu Bakar memberi jaminan akan mengutamakan kira-kira 80% tawaran kepada pelakon veteran berbanding 20% pada pelakon muda berbakat.

“Saya akan tutup syarikat ini sekiranya saya tidak menepati janji saya ini malah pelakon-pelakon muda pula akan saya tawarkan peranan bergantung kepada bakat mereka dan bukan kerana ‘followers’ yang ramai,” janji Dato Mohammad Faizal.

Menurut beliau, melalui filem sulongnya ‘Puteri Gunong Sengkuang’, sebahagian besar daripada pelakon utamanya akan terdiri daripada kalangan pelakon veteran samada sebagai watak utama dan sampingan atau pun sekadar ‘cameo’.

Majlis pada petang itu kelihatan dihadiri beberapa pelakon veteran terkenal antaranya seperti Raja Azmi Sulaiman Raja Sulaiman, 61, Ropie Cecupak, 53, Badrul Muhayat, 52 dan Radhi OAG, 42 tahun.

Turut hadir Encik Haniff Khan Mohammed Khan selaku Ketua Pegawai Eksekutif HFS Production (M) Sdn Bhd.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai filem “Puteri Gunong Sengkuan’, Sheila Mambo memberitahu, cerita yang akan ditampilkan diinspirasi daripada Hikayat Puteri Gunong Ledang tetapi digubah menjadi filem komedi ‘slapstick’.

“Ketika saya menggarap cerita ini, saya bayangkan Saiful Apek sebagai salah seorang daripada pelakonnya,” ujar Sheila yang tidak menolak bakal menawarkan watak kepada pemilik nama penuh, Mohd Saifulazam Mohammad Yusof itu yang kini berusia 51 tahun.

Membayangkan pelakon Puan Sri Tiara Jacquelina memegang watak ‘Puteri’ sebagaimana watak yang dilakonkan dalam filem terbitannya sendiri ‘Puteri Gunung Ledang’, Sheila bagaimana pun masih belum membisikkan hasratnya itu kepada penerbit berusia 52 tahun itu.

“Sekiranya beliau sudi, saya amat berbesar hati,” ujar Sheila yang masih belum membayangkan siapa pengarah di sebalik ‘Puteri Gunong Sengkuang’.

“Majlis pelancaran filem ini akan dilakukan secara rasminya apabila kesemua krew produksi telah dikenal pasti, tetapi seperti yang dipersetujui Datuk Faizal sebahagian besar pelakon terdiri daripada kalangan veteran,” akhiri Sheila sambil mendoakan agar perancangannya untuk mengangkat kembali pelakon-pelakon lama dalam arena perfileman yang kini banyak dikuasai pelakon muda dapat diseimbangkan semula.


Ikuti juga F8Buzz di


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here