Arena Hip Hop tempatan bakal berkumpul di satu lokasi apabila RAPAT Hip Hop Fest mengambil alih TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Oktober 2026.
Dianjurkan CEOMAN Entertainment, festival yang membawa misi “When Underground Takes The National Stadium” itu menggabungkan penggiat underground, artis arus perdana dan komuniti budaya jalanan dalam sebuah acara sepanjang hari.
CEOMAN Entertainment bersama penggiat, artis dan komuniti Hip Hop tempatan.
APA
RAPAT Hip Hop Fest, festival yang menghimpunkan arena underground, artis arus perdana dan peminat budaya urban.
BILA
24 Oktober 2026, dari jam 11 pagi hingga 11 malam.
DI MANA
TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
MENGAPA
Menyatukan pelbagai generasi dan lapisan komuniti Hip Hop tempatan menerusi muzik serta budaya jalanan.
BAGAIMANA
Festival menampilkan lima zon pengalaman, termasuk The Main Stage, The Underground, The Street, The Market dan The Flavour/Rapat Bazaar. Tiket RAPAT GENG berharga RM99.
100 Rapper Dalam The National Cypher

Antara tarikan utama RAPAT ialah The National Cypher, yang bakal menghimpunkan 100 rapper tempatan daripada pelbagai generasi, negeri dan bahasa di atas satu pentas.
Menurut Penganjur Acara, Sherman Heng, idea festival tersebut tercetus daripada persoalan sama ada Hip Hop tempatan mampu memenuhi Stadium Nasional.
“RAPAT bermula dengan satu soalan mudah: Bolehkah Hip Hop tempatan memenuhkan Stadium Nasional?” katanya.
Jelas Sherman, budaya Hip Hop Malaysia mempunyai asas yang kukuh tetapi sebahagian daripadanya masih bergerak dalam ruang underground.
“Malaysia mempunyai budaya Hip Hop yang amat kukuh, namun sekian lama ia bergerak sendirian di ruang underground. Berpandukan pengalaman kami menganjurkan konsert antarabangsa, sudah tiba masa untuk kami membawa bakat hebat ini ke stadium terbesar negara dan membuktikan nilai komersial serta potensi sebenar bakat tempatan,” katanya.
Bunga, Forceparkbois Dan K-Clique Antara Nama Fasa Pertama

Bagi barisan persembahan utama, RAPAT memperkenalkan beberapa nama menerusi pengumuman Fasa Pertama yang menampilkan Bunga, Forceparkbois dan K-Clique.
Sherman berkata, pemilihan tersebut mencerminkan kepelbagaian warna dan identiti dalam arena Hip Hop tempatan.

“Barisan artis Fasa Pertama ini mewakili kepelbagaian warna, tenaga dan identiti unik arena Hip Hop tempatan menyaksikan gabungan dominasi arus perdana hingga ke gelombang baharu yang dinamik,” katanya.
Festival ini turut menampilkan Supporting Acts & Underground Talents serta aksi daripada barisan DJ dan breaker tempatan, manakala senarai artis fasa seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Lima Zon Untuk Satu Hari Penuh Hip Hop

Bukan hanya persembahan muzik, RAPAT turut menawarkan lima zon pengalaman yang boleh diterokai pengunjung bermula jam 11 pagi hingga 11 malam.
The Main Stage menjadi lokasi persembahan artis utama, rapper dan DJ, manakala The Underground memberi ruang kepada battle, freestyle dan cypher generasi baharu.
Bagi peminat budaya jalanan pula, The Street menampilkan pertunjukan breakdance, papan selaju dan sukan jalanan, sementara The Market menghimpunkan jenama streetwear tempatan serta budaya sneakers.
Turut tersedia The Flavour / Rapat Bazaar, yang menampilkan bazar makanan tempatan di Parking C dan berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Oktober 2026.
Tiket RAPAT GENG RM99

Bagi memberikan akses kepada lebih ramai pengunjung, penganjur menawarkan tiket RAPAT GENG (General Admission) pada harga RM99.
Tiket tersebut memberikan kebebasan kepada pemegang pas untuk bergerak di kawasan General Admission sepanjang hari serta menikmati pelbagai zon festival.
“Misi kami jelas iaitu menjadikan festival skala stadium ini boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat. Pada harga tiket RM99, kami membuka pintu untuk sesiapa sahaja yang mahu merasai tenaga dan kehangatan budaya Hip Hop tempatan secara langsung,” katanya.
Tiket rasmi RAPAT Hip Hop Fest boleh dibeli menerusi maiseat.com dan ticket2u.com bermula 28 September 2026.
Dengan gabungan artis arus perdana, penggiat underground dan pelbagai elemen budaya jalanan, RAPAT Hip Hop Fest bakal menjadi ruang pertemuan buat komuniti Hip Hop tempatan untuk berkumpul, berkolaborasi dan meraikan kepelbagaian scene yang berkembang di Malaysia.



GIPHY App Key not set. Please check settings