Madani Greatlink Sdn. Bhd. melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali tampil sebagai antara penaja filem tempatan menerusi naskhah Tiket Sehala, sekali gus menjadikan industri perfileman sebagai platform baharu untuk memperkukuhkan jenamanya.
Menurut Pemilik dan Pengarah Urusan Madani Greatlink, Hairi Jasadi, keputusan itu dibuat selepas beliau tertarik dengan konsep filem berkenaan yang menggabungkan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
BUZZ RINGKAS
SIAPA
Madani Greatlink Sdn. Bhd. dan Hairi Jasadi.
APA
Menjadi penaja filem Tiket Sehala.
BILA
Menjelang tayangan filem pada 6 Ogos 2026.
DI MANA
Malaysia.
KENAPA
Memperkenalkan jenama syarikat sambil menyokong industri filem tempatan.
Penajaan Sulung Dalam Industri Filem
Hairi berkata, kerjasama itu bukan sahaja bertujuan menyokong industri kreatif tempatan, malah membuka peluang kepada syarikat untuk memperkenalkan jenama Madani Greatlink kepada khalayak yang lebih luas.
“Apabila saya mendapat tahu mengenai filem Tiket Sehala, saya terus tertarik untuk menjadi salah seorang penaja, khususnya apabila melihat gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa dari Korea Selatan, Indonesia dan Malaysia.
“Walaupun kami sudah agak lama berada dalam industri, kami masih memerlukan pendedahan lebih meluas. Ini merupakan kali pertama Madani Greatlink menjadi penaja bagi sebuah filem.”
Roadshow Bersama Peminat
Bagi memeriahkan promosi filem tersebut, Madani Greatlink turut merancang siri jelajah bersama barisan pelakon, termasuk program di Shah Alam yang akan menghimpunkan peminat serta komuniti motosikal.
“Kami merancang mengadakan jelajah sempena pelancaran rasmi Tiket Sehala. Minggu depan, program akan diadakan di Shah Alam dan kami juga akan mengajak pasukan motosikal untuk bersama-sama menyertai aktiviti serta menonton filem ini.”
Pelbagai Hadiah Menarik Menanti Pengunjung
Selain sesi ramah mesra bersama pelakon, orang ramai turut berpeluang menyertai beberapa aktiviti menarik termasuk Gold Bar Challenge.
Seramai 100 pemenang bakal membawa pulang tiket percuma untuk menonton Tiket Sehala, selain peluang memenangi baucar pembelian kenderaan dengan nilai keseluruhan RM50,000.
Menurut Hairi, setiap baucar pembelian kenderaan bernilai RM5,000 sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan perniagaan jualan kereta dan motosikal yang dijalankan syarikat.
“Kami berharap menerusi kerjasama ini lebih ramai mengenali Madani Greatlink sebagai syarikat yang menjalankan perniagaan jualan kereta dan motosikal.
“Itu antara objektif utama saya selain minat terhadap filem ini.”
Angkat Isu Penipuan Pekerjaan
Diarahkan oleh Rahila Ali, Tiket Sehala diinspirasikan daripada kisah benar mengenai sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Filem bergenre survival thriller itu menampilkan gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa termasuk Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Ainee Mustafa, Zaki Yamani dan Noki K-Clique.
Tiket Sehala dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos 2026.
GIPHY App Key not set. Please check settings