Penyanyi berbakat dari Indonesia, Kunto Aji selesai mengadakan konsert Nusafest Present Kunto Aji Live In KL 2023 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur Jumaat yang lalu.
Ketika sidang media yang berlangsung beberapa jam sebelum konsert bermula, Kunto menegaskan bahawa muzik-muziknya bukanlah ubat.
Kunto berkata demikian kerana lagu-lagunya itu sering dilabel sebagai lagu ‘healing’ untuk membantu mereka-mereka yang sedang mengalami masalah kesihatan mental.
“Saya selalu ingatkan pendengar saya bahawa muzik saya tidak boleh mengubati orang, jadi sekiranya ada masalah disarankan untuk berjumpa pakar untuk mendapatkan bantuan,” kata Kunto.
Konsert di Malaysia merupakan antara lokasi penutup untuk album Mantra Mantra kerana menurut pendendang lagu Saudade itu, dia bakal mengeluarkan album baharu pada September ini.
“Bulan ini adalah album penutup untuk konsert Mantra Mantra. Saya akan tampil dengan album baru yang akan dilancarkan pada September ini.
“Album ini akan menjadi rangkuman perasaan saya melalui lima tahun seperti melalui pandemik dan kehilangan bapa.
“Saya cuba tampilkan perasaan kedewasaan dan tumbuh kerana ia merupakan perasaan paling besar yang saya rasakan selama lima tahun itu.
“Saya membayangkan kepala saya seperti ranting yang tumbuh mencari cahaya,” katanya lagi.
Konsert yang berlangsung selama 90 minit itu berjaya mengumpul lebih 2,000 pengunjung dan Kunto membawakan sebanyak 18 lagu hit seperti Mercusuar, Terlalu Lama Sendiri, Saudade dan banyak lagi.
Sekadar info, Kunto pernah mengadakan konsert di Malaysia pada Ogos tahun lalu iaitu Fabulous Friday: Kunto Aji.
GIPHY App Key not set. Please check settings