Pelakon Alif Muhaimin berkongsi detik cemas apabila ibunya terperangkap seorang diri di rumahnya yang dijilat api kira-kira jam 3:50 petang di Kelana Jaya petang semalam.
Alif dan adik beradiknya bergegas pulang ke kediaman mereka selepas menerima mesej dari ibunya meminta bantuan untuk menghubungi pihak bomba kerana rumah terbakar dan 30 minit selepas itu pihak bomba sampai dan berjaya memadamkan api.
Sebelum pelakon Angkara Cinta itu tiba di tempat kejadian, adik perempuannya tiba terlebih dahulu dan nekad memanjat pagar untuk mencari kunci rumah dan menyelamatkan ibu mereka.
Akibatnya, adiknya itu melecur dibahagian pergelangan tangan hingga ke siku namun lega kerana berjaya membawa ibu keluar dari rumah tersebut.
Menurut pelakon yang sedang meningkat naik itu, punca kebakaran adalah disebabkan oleh litar pintas yang terjadi ketika hujan lebat beserta kilat petang semalam.
Hampir keseluruhan rumahnya terbakar dan turut memberi kesan kepada rumah-rumah jirannya namun terselamat dari dijilat api.
Anggaran kerugian akibat kebakaran tersebut masih belum dikenalpasti kerana banyak barangan peribadi yang musnah namun pelakon ini akan berusaha untuk mendapatkan bantuan.
Sementara mendapat bantuan dan rumah yang baru, Alif dan keluarga akan berkampung di rumah rakan abangnya buat sementara waktu.
Walaupun ditimpa musibah namun juara Hero Remaja 2017 ini positif dengan apa yang berlaku dan menganggap segala yang terjadi ada hikmah disebaliknya.
GIPHY App Key not set. Please check settings