Seorang memburu kejayaan di tatami, seorang lagi mengemudi skuad yang sedang menikmati antara fasa terbaik sepak takraw negara. Namun, misi C. Shahmalarani Chandran dan Ketua Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan, Ahmad Jais Baharun tetap sama, membawa nama Malaysia setinggi mungkin di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menjelang temasya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober, kedua-duanya mengajak rakyat Malaysia terus berdiri di belakang Team MAS dan memberikan semangat kepada atlet negara yang bakal berdepan barisan terbaik Asia.
Bagi Shahmalarani, Aichi-Nagoya hadir ketika jaguh kumite bawah 50kg itu berada pada tahap kompetitif yang cukup meyakinkan. Juara Sukan SEA tiga kali itu bukan sahaja mempertahankan gelaran pada Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) 2026, malah pernah muncul naib juara dunia dan meraih pingat perak Kejohanan Asia.
Kini, pentas Sukan Asia menjadi medan seterusnya buat Shahmalarani untuk mencabar atlet terbaik benua dan memburu tempat di podium.
Skuad sepak takraw negara pula hadir dengan keyakinan tersendiri di bawah kendalian Ahmad Jais. Malaysia mencipta sejarah pada Sukan SEA 2025 apabila meraih emas regu berpasukan lelaki selepas penantian 34 tahun, sebelum turut memenangi acara regu lelaki.
Momentum itu diteruskan apabila anak buah Ahmad Jais muncul juara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kuala Lumpur, menamatkan penguasaan Thailand yang memenangi tiga edisi terdahulu.
Rekod dan kejayaan lalu menjadi bekalan, tetapi cabaran di Aichi-Nagoya bermula semula dari kosong. Shahmalarani dan skuad sepak takraw negara masih perlu berjuang mata demi mata untuk membawa pulang kejayaan buat Malaysia.
Mereka dah buat bahagian mereka. Sekarang giliran kita pula berada di belakang Shahmalarani, Ahmad Jais, skuad karate, skuad sepak takraw dan seluruh Team MAS. Malaysia Boleh! 🇲🇾🔥



GIPHY App Key not set. Please check settings