Bekas madu pelakon yang terkenal dengan watak antagonis, Miera Leyana, iaitu Adibah Abdul Mutalib, 50, mendakwa perbelanjaan bulanannya bersama anak-anak yang sepatutnya diterima sebanyak RM15,000 oleh bekas suami, Rosland, 50, mula tidak diterima pada September 2021 lalu.
Kenyataan yang dikemukakan oleh Adibah di hadapan Hakim, Abdul Fattah Kamarudin, bahawa bekas suaminya hanya memasukkan jumlah penuh itu selama beberapa bulan selepas mendirikan rumah tangga kali kedua kemudian dikurangkan sehingga akhirnya tidak menerima langsung.

Adibah berkata demikian apabila ditanya oleh peguam Rosland, Nurul Balqis Nordin melalui keterangan balas pihaknya pada perbicaraan kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, bekas isteri pertama Rosland itu sentiasa berterima kasih kepadanya kerana sebelum itu pernah memberikan perbelanjaan bulanan sebanyak RM15,000 walaupun jumlah itu lama-kelamaan berkurangan secara tiba-tiba.
“Masa mula-mula selepas dia (Rosland) berkahwin dua itu, memang bekas suami ada beri perbelanjaan bulanan penuh untuk saya dan anak-anak sebanyak RM15,000 selama tujuh hingga lapan bulan saja. Tapi, apabila nak hampir setahun, dia mula mengurangkan dan akhirnya tidak memberi langsung.
“Malah, bekas suami juga mula tidak balik ke rumah saya, termasuk tidak memberi wang perbelanjaan seperti biasa. Dia hanya bayarkan sewa rumah, kereta, air elektrik dan internet saja,” katanya.

Namun begitu, dia mengakui berasa dirinya diabai dan sedih pada masa itu lalu membawa diri bersama anak-anak bercuti pada 24 September 2021 sehingga didakwa ingkar perintah suami apabila tidak meminta izin untuk keluar dari rumah.
“Sejak saya pergi hotel bersama anak-anak pada 24 September 2021 itu, dia (Rosland) block (sekat) saya daripada berhubung dengannya sampai sekarang serta berhenti memberi duit belanja dan hanya membayar keperluan asas seperti bil serta sewa rumah.
“Dia juga akan memberikan perbelanjaan sekiranya diminta oleh anak-anak. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih kepada Rosland,” katanya tidak bersetuju didakwa nusyuz dan memberitahu sudah membuat permohonan maaf kepada bekas suaminya itu.
Sementara itu, Rosland tidak hadir pada perbicaraan hari ini kerana kurang sihat manakala perbicaraan kes nusyuz tersebut akan disambung pada 31 Oktober depan untuk Adibah menampilkan saksi bagi pihaknya.

Sebelum ini, F8Buzz ada melaporkan mengenai kes tuntutan nusyuz yang ingin diteruskan oleh Rosland terhadap bekas isteri pertamanya, Adibah, pada hari ini.
Terdahulu, Adibah diceraikan talak satu oleh Rosland yang juga ahli perniagaan di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu.
Mendirikan rumah tangga selama 28 tahun bermula 3 Jun 1995, Rosland dan Adibah dikurniakan lima anak perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.

Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana pada Julai 2020. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang anak perempuan.
GIPHY App Key not set. Please check settings