in

Pergolakan Rumah Tangga Bakal Berakhir Khamis Ini, Diana Tak Letak Harapan Tinggi

Pelakon jelita, Diana Danielle tidak mahu meletakkan harapan setinggi gunung mengenai kes perceraian bersama suaminya yang juga pelakon iaitu Farid Kamil dikhabarkan akan tamat pada Khamis ini.

Ujar Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 32, dia berharap dapat menamatkan kisah rumah tangganya yang bergolak sejak Mac lalu dengan baik tanpa bermasam muka.

“Mestilah saya nak pengakhiran yang aman dan baik untuk kami kekalkan hubungan yang aman dan baik demi anak-anak termasuk silaturahim kami.

“Saya doakan kami dapat mencapai pengakhiran yang baik. Itu sahaja yang boleh saya harapkan,” jelasnya. 

Menerusi laporan Kosmo!Online, pelakon berusia 32 tahun itu berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui selepas prosiding sebutan tuntutan hadanah interim di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi.

Namun begitu, pelakon kelahiran United States itu merasakan masih terlalu awal untuk menarik nafas lega sambil menuju ke prosiding terakhir akan tetapi dia tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

“Saya perlu bersedia untuk setiap kemungkinan yang bakal berlaku (Khamis nanti).

“Sekarang ni, saya masih menanti keputusan dan insya-Allah, saya bersangka baik.

“Saya tidaklah berdebar, cuma sentimennya tinggi kerana perkara ini melibatkan keluarga, hati, perasaan, masa depan dan banyak perkara. Jadi kena pandang perkara ini secara serius,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Jiwa Taiko itu memaklumkan bahawa sesi lawatan antara dua anaknya, Muhammad dan Aurora, berjalan dengan lancar seperti yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.

“Proses perjumpaan Farid dengan anak-anak berjalan dengan baik dan tiada masalah, saya tak mahu merumitkan lagi keadaan.

“Saya juga tak mahu bercakap banyak sebab Farid juga tidak hadir hari ini untuk pertahankan diri atau berkata lebih bagi pihaknya,” katanya.

Selain itu, menurut peguam yang mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata, anak guamnya dan pihak defendan iaitu Farid sudah mempunyai draf terma-terma persetujuan bersama termasuk berkaitan kes cerai, hadanah, dan tuntutan nusyuz.

Keputusan penuh mengenai hadanah masih ditangguhkan kerana mahu menyelesaikan semua kes-kes berkaitan perceraian secara menyuluruh.

Difahamkan Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, selaku plaintif tidak dapat hadir ke mahkamah pada hari ini kerana mengalami masalah kesihatan. 

Pada 10 Mac lalu, kemelut rumah tangga pasangan tersebut bermula apabila Diana memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Dalam permohonan cerai itu, pelakon filem Kami Histeria itu mendakwa mereka sudah tidak ada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri merupakan antara alasannya untuk bercerai. 

Susulan itu, Diana telah memperoleh hadanah interim dua anaknya pada 24 Mac lalu.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora yang kini berusia lapan tahun. 


Ditulis oleh Dhia Kz

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Diserang Bertubi-tubi Melalui ‘DM’, Enot Bertindak Mendiamkan Diri dan ‘Off’ Komen

Bahtera 34 Tahun Perkahwinan Terlerai, ND Lala dan Fauziah Sah Bercerai