in ,

Bukan Kisah Cinta Semata-Mata! Qais & Laila Bawa Penonton Kembali Kepada Allah

Kisah cinta legenda Qais dan Laila bakal dipentaskan dalam versi yang cukup berbeza apabila pementasan teater muzikal Qais & Laila tampil dengan olahan jalan cerita baharu yang lebih menyentuh aspek kerohanian berbanding kisah asal yang terkenal sejak ratusan tahun lalu.

Berbeza dengan pengakhiran asal yang menyaksikan kedua-dua watak utama meninggal dunia, versi terbaharu ini membawa penonton menyaksikan perjalanan Qais yang akhirnya kembali kepada Allah selepas menyedari bahawa cinta kepada Pencipta mengatasi segala-galanya.

Menurut pengarah produksi, Haji Lokman Ghani, mesej tersebut dipilih bagi memberikan dimensi baharu terhadap kisah cinta agung yang cukup sinonim dalam dunia kesusasteraan.

“Kalau mengikut kisah asal dari Arab, Qais dan Laila kedua-duanya meninggal dunia. Namun kami mengolah semula jalan cerita apabila Qais sempat bertaubat dan mengalihkan cintanya daripada makhluk kepada Allah.

“Itulah mesej utama yang ingin kami sampaikan menerusi pementasan ini,” katanya.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Pertubuhan Teater Negeri Melaka (PERTEM) bersama barisan pelakon teater Qais & Laila.

APA
Pementasan semula kisah legenda Qais & Laila dengan olahan baharu yang mengetengahkan nilai kerohanian.

BILA
25 Julai 2026.

DI MANA
Panggung Bangsawan Melaka.

KENAPA
Memberikan nafas baharu kepada kisah cinta legenda dengan mesej bahawa cinta kepada Allah adalah cinta yang paling agung.

Lebih Daripada Kisah Percintaan

Selain mengetengahkan elemen percintaan, pementasan ini turut menyelitkan tema pengorbanan, ketabahan, pencarian makna kehidupan serta penyucian jiwa yang diolah dalam bentuk lebih segar dan kontemporari.

Menurut pengarah Luqman Aziz, gabungan drama, muzik, puisi, komedi dan visual pentas moden diharap mampu memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

“Kami mahu menghasilkan sebuah pementasan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut meninggalkan kesan emosi dan mesej yang boleh dibawa pulang oleh penonton,” katanya.

Pentas Untuk Bakat Baharu

Dalam masa sama, pementasan ini turut membuka ruang kepada bakat baharu apabila PERTEM mengadakan sesi uji bakat dalam kalangan anak seni Melaka bagi melahirkan lebih ramai pelapis industri teater tempatan.

Teater ini diterbitkan dengan sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), selain kerjasama Tourism Melaka, MCorp Corporate Services Sdn. Bhd., Boolan Trending, Panggung Bangsawan Melaka dan World Youth Foundation.

Barisan Pelakon

Pementasan eksklusif satu malam ini menampilkan Syahir Shafien sebagai Qais dan Isyariana sebagai Laila.

Turut membintangi teater ini ialah Datuk Jalaludin Hassan, Rashid Din dari Singapura, Raja Ema dan Ashraf Muslim.

Qais & Laila akan dipentaskan pada 25 Julai 2026 di Panggung Bangsawan Melaka, manakala tiket boleh didapati menerusi platform Ticket2U.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Sabrina Tersingkir, Adam & Nazmie Ungguli Minggu Ketiga