Pelakon, Diana Danielle menzahirkan rasa terkilan dengan reaksi pelik yang diterima selepas dirinya memaklumkan lebih selesa untuk mengadu segala ujian kepada Allah SWT.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berpendapat tidak wajar untuk mana-mana individu berasa pelik dengan perkara tersebut.
“Sejak saya berkongsi bahawa solat adalah sumber kekuatan saya, reaksi pertama sering kali, ‘Tutup aurat dulu’.
“Kenapa perlu pelik bila orang tak bertudung bagitahu mereka solat? Adakah jika saya belum sempurna, saya tak layak untuk solat?”
Diana Danielle
“Kan setiap orang ada ujian berbeza. Solat tanda kesedaran untuk berubah dan menjadi lebih baik.
“Berdosa atau tidak, lebih baik kita teruskan amalan rohani sebab mendekatkan diri dengan Allah tak pernah akan jadi perkara yang sia-sia,” katanya.
Tambah aktres berusia 33 tahun itu, setiap pihak tidak sepatutnya memandang rendah terhadap usaha mana-mana individu untuk berubah ke arah kebaikan.
“Jangan kaitkan kesempurnaan dengan amalan. Setiap orang sedang bergelut dengan diri sendiri dan berjuang melawan ‘nafsu’masing-masing.
“Yang penting, kita semua sedang berusaha ke arah kebaikan. Elak rendahkan sesiapa yang sedang cuba berubah,” ujarnya.
Terdahulu, Diana mengakui dirinya berupaya untuk berdepan dengan proses penceraian bersama pelakon, Farid Kamil dengan lebih tenang selepas banyak mengadu dengan bersujud kepada Allah SWT.
Imbas kembali, Diana mengejutkan ramai pihak apabila memfailkan perceraian buat kali kedua selepas setahun kembali rujuk bersama suaminya, aktor Farid Kamil.
Bagaimanapun, Diana enggan memperincikan alasan membuat keputusan nekad untuk berpisah.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Farid dan Diana pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara dalam talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos tahun lalu.
GIPHY App Key not set. Please check settings