Pempengaruh media sosial dan pelakon, Aya Amiruddin menafikan khabar angin yang mendakwa dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki warga Nigeria selepas perpisahan dengan bekas tunangnya, Eronmose Sleem pada Mei lalu.
Menurut Aya, dia kini memerlukan masa untuk mengenali orang lain selepas melalui tempoh perpisahan yang memeritkan.
“Kami hanya berkawan, tidak lebih daripada itu. Buat masa ini, saya hanya mengikut apa yang telah diaturkan dalam hidup. Saya perlukan masa untuk pulih selepas empat tahun bersama dengan bekas tunang. Takkanlah lepas beberapa bulan saya sudah bersama dengan orang lain, kan?”
Aya Amiruddin
Aya menjelaskan hal tersebut ketika ditemui selepas tayangan perdana filem terbarunya, Pontianak 200kg di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, semalam.
Tambahnya lagi, lelaki yang menemaninya semasa malam tayangan perdana itu hanyalah seorang kawan lama yang dikenali sejak kecil. “Dia adalah kawan lama sebelum saya menjadi pelakon. Dia ingin menonton filem lakonan pertama saya, jadi saya tidak kisah untuk dia datang,” jelasnya.
Sebelum ini, Aya mendedahkan bahawa ikatan pertunangannya selama dua tahun dengan Sleem telah terlerai dan mereka merancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini. Namun, jodoh mereka tidak berpanjangan.
Dalam perkembangan lain, Aya turut berkongsi rasa terujanya apabila dipilih sebagai pelakon utama filem komedi Pontianak 200kg arahan Shuhaimi Lua, yang akan mula ditayangkan di seluruh Malaysia dan Brunei bermula esok.
Filem terbitan Primeworks Studios (PWS) dan Metrowealth International Group (MIG) ini turut menampilkan pelakon lain seperti Dottie, Ziana Zain, Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, Malia Baby, Shaf Naufas, dan Apich Lo.
GIPHY App Key not set. Please check settings