Penembak wanita Korea Selatan, Kim Ye Ji, kini mencuri perhatian bukan sahaja di arena sukan, tetapi juga di dunia peragaan.
Baru-baru ini, Ye Ji tampil memukau dalam sesi fotografi bersama jenama fesyen mewah Louis Vuitton untuk Majalah W, memperlihatkan pesona yang setanding dengan supermodel terkenal.
Sebelum ini, Ye Ji menarik perhatian ramai ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, dengan gaya yang bersahaja namun memikat. Kemunculannya dalam dunia peragaan kali ini, walaupun baru, menunjukkan keyakinan dan bakat yang tidak disangka-sangka.
“Kenapa saya? Ada ramai lagi yang menang emas, tapi kenapa hubungi saya? Saya individu yang sama sejak mula menembak di sekolah menengah.”
Kim Ye Ji
Nama Ye Ji mula menjadi sebutan selepas memenangi pingat perak dalam acara menembak 10 meter wanita di Sukan Olimpik Paris. Kejayaannya itu turut menarik perhatian penyiar Amerika Syarikat (AS) NBC, yang menyenaraikan Ye Ji dalam Top 10 Stars to Watch.
Jutawan teknologi, Elon Musk, turut memuji penampilan Ye Ji di platform X, membalas hantaran mengenai penampilannya di Piala Dunia Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) yang diadakan pada Mei di Baku, Azerbaijan. “Dia patut membintangi filem aksi. Tidak perlu berlakon!” kata Musk.
Ye Ji menjelaskan bahawa keputusan untuk menyertai penggambaran tersebut adalah untuk mempromosikan dirinya dan sukan menembak yang diceburinya. “Bintang Olimpik diberi perhatian untuk tempoh yang singkat. Justeru, saya berharap dengan kemunculan di media, lebih ramai yang akan mengenali sukan menembak,” ujarnya.
Pada 19 Ogos, Ye Ji menandatangani kontrak dengan agensi Plfil, yang akan menyokong aktiviti promosi syarikat tersebut, sekaligus mengukuhkan lagi kehadirannya dalam dunia peragaan dan promosi.
GIPHY App Key not set. Please check settings