Pelakon popular, Riena Diana, mengakui bahawa dirinya sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Namun begitu, Riena, 27, menolak cadangan untuk tinggal di kediaman milik kekasihnya, pelakon Keith Foo, yang terletak berhampiran kawasan hutan.
Menurut Riena, yang nama sebenarnya ialah Nur Qamarina Diana Zulreal, masih terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh dirinya dan Keith Foo sebelum mereka sah bergelar suami isteri. Antara perkara utama yang dibangkitkan oleh Riena ialah lokasi rumah Keith yang tidak menepati citarasanya.
“Dia (Keith) kata kalau kahwin dengan dia, kena tinggal dalam hutan sebab dia ada memiliki rumah di kawasan sebegitu. Kalau begitu saya tidak mahu. Saya enggan tinggal di kawasan hutan.”
Riena Diana
Pelakon yang semakin dikenali itu menegaskan bahawa keputusan untuk tidak tinggal di kawasan tersebut adalah sesuatu yang penting dan memerlukan perbincangan lanjut antara mereka berdua. “Disebabkan itu, saya kata ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan dan dibincangkan. Ada hal-hal yang tidak berkenan dan kami sedang dalam perbincangan lagi,” tambahnya.
Walaupun sudah merancang untuk berkahwin, Riena menjelaskan bahawa mereka tidak tergesa-gesa untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat. Dia dan Keith, 41, lebih selesa untuk mengambil masa dan menjalani proses tersebut dengan berhati-hati. “Kami memang sudah rancang bila hendak kahwin. Tetapi kami ambil langkah perlahan-lahan dan tidak terburu-buru. Kami percaya dengan proses,” jelas Riena.
Riena turut menyatakan bahawa kedua-dua mereka akan sibuk dengan penggambaran dan ada banyak perkara yang ingin dicapainya sebelum melangkah ke alam perkahwinan. “Saya juga mempunyai perkara yang ingin dibuat dan diterokai lagi,” katanya lagi.
Hubungan cinta antara Riena dan Keith mula terjalin sejak mereka sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri “Salju Rindu” yang bersiaran di TV3 pada bulan Jun lalu.
Untuk makluman, Keith Foo pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Kim Raymond pada November 2015, namun mereka bercerai empat tahun kemudian. Pasangan tersebut dikurniakan seorang anak perempuan bernama Skylar yang kini berusia tujuh tahun.
GIPHY App Key not set. Please check settings