Pempengaruh media sosial, Andika Putera atau nama sebenarnya Muhamad Andika Putera, 27, menegaskan bahawa dia tidak pernah berlaku curang semasa perkahwinannya dengan bekas isteri, Ananda Natasha.
Andika, yang lebih dikenali sebagai Dika, menyatakan dia terkejut dengan tuduhan curang dengan pekerja dan isteri orang yang juga seorang jurulatih motivasi.
“Untuk pengetahuan semua, saya dan Natasha pernah bercerai pada tahun 2022 disebabkan tiada persefahaman. Kami rujuk semula demi kebaikan anak kami, Alisha Puteri. Namun, tiada persefahaman yang berpanjangan menyebabkan kami bercerai semula pada Disember tahun lalu. Penceraian ini berlaku secara baik dengan bekas isteri.
“Walaupun sudah bercerai, saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan memberikan nafkah anak dan duit mutaah setiap bulan kepada Natasha. Saya juga menguruskan rawatan mata Alisha.
“Sepanjang perkahwinan dengan Natasha, saya tidak pernah berlaku curang seperti yang didakwa. Tuduhan ini sangat mengaibkan, terutama sekali dengan jurulatih tersebut yang sudah berkahwin,” katanya.
Andika Putera
Dika mengakui ada kekhilafan dalam kata-katanya semasa menyampaikan seminar mengenai hubungan suami isteri, yang telah disalahtafsir dan dimanipulasi oleh individu tidak bertanggungjawab. Mereka juga telah dikenalpasti untuk diambil tindakan perundangan.
“Saya mengakui kesilapan penggunaan kata-kata saya yang berlebihan dan mesra terhadap jurulatih tersebut. Saya memohon maaf atas kesilapan ini.
“Semua seminar saya dirakamkan untuk rujukan. Entah bagaimana, pihak yang dikenalpasti telah memberikan video tersebut kepada Natasha, menyebabkan salah faham.
“Saya dituduh curang selama 4 tahun tanpa bukti. Seminar tersebut diadakan selepas saya bercerai, tetapi pihak ketiga menokok tambah cerita, menyebabkan Natasha percaya ia berlaku sebelum bercerai,” ujarnya.
Andika Putera
Dika berharap penjelasannya akan menghentikan spekulasi mengenai skandal tersebut kerana ia hanya mengelirukan orang ramai.
Dika juga menegaskan jika ada pihak yang terus memfitnah dirinya, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Pihak lain yang turut terkesan dengan fitnah ini juga akan membuat kenyataan media bagi menjernihkan keadaan dan menghentikan tuduhan tidak berasas ini.
“Saya tidak mahu membuka aib mana-mana pihak. Oleh itu, saya menjalani kehidupan seperti biasa dan menguruskan komitmen harian saya.
“Cukuplah tuduhan terhadap saya. Hentikan atau saya akan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menjatuhkan reputasi saya,” tegasnya.
GIPHY App Key not set. Please check settings