Jenama produk makanan kesihatan tambahan, K-Colly, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang mendakwa produk mereka menyebabkan kesihatan terjejas, termasuk pengecutan buah pinggang, serta meninggalkan komen fitnah di media sosial.
Video tuduhan tersebut tular di TikTok, mencapai 2 juta tontonan pada Mei lalu, dan komen fitnah turut muncul di Facebook.
Pengurus Besar K-Colly, Mohd Zulkifli Hussain, menyatakan tindakan ini penting untuk membersihkan nama jenama yang telah berada di pasaran selama 13 tahun.
“Isu ini menjejaskan kepercayaan pengguna dan reputasi serta jualan produk kami,” katanya dalam sidang media di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.
Mohd Zulkifili Hussain
Peguam K-Colly, Azreen Azmi dari Tetuan Adnan Sharida & Associates, menjelaskan pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dua individu tersebut.
K-Colly telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Pokok Sena, Kota Setar, Kedah, dan menuntut permohonan maaf serta ganti rugi daripada mereka. Surat tuntutan akan dikeluarkan selepas Aidiladha, dan jika tiada kerjasama, tindakan saman akan diambil.
Azreen juga memberi amaran kepada netizen agar berhati-hati sebelum membuat tuduhan atau komen di media sosial, kerana tuduhan fitnah boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
Dr Mohd Redza Abd Rahman dari Synamatix Sdn. Bhd. menegaskan bahawa produk K-Colly telah melalui pemeriksaan makmal dan ujian Sijil Analisis (COA) yang mengesahkan tiada pencemaran logam berat atau mikrob.
“Produk K-Colly yang mengandungi bahan semula jadi adalah selamat jika diambil mengikut dos yang disarankan. Tuduhan dalam video viral mengenai produk Colly Sweet 17 adalah tidak berasas, kerana produk tersebut tidak mengandungi gula tambahan atau kolagen”.
Ujar Dr.Reza
Dalam majlis yang sama, K-Colly memperkenalkan duta baru, pempegaruh popular Dahlia Rizal, dan menyumbang RM100,000 kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu rakyat Palestin. Mereka juga mengagihkan 5,000 kilogram beras di sekitar Masjid Al-Bukhary, Bukit Bintang sempena Aidiladha.
GIPHY App Key not set. Please check settings