in , ,

8 Lokasi Wajib Pergi Bila Melancong Ke Taiwan!

Kalau anda layari akaun media sosial pada hari ini, pasti ada sahaja video atau kandungan-kandungan yang berkongsi tentang pengalaman mereka bercuti sama ada di dalam atau di luar negara.

Sedikit sebanyak mungkin membuatkan anda juga teringin untuk bercuti tetapi tidak tahu hendak kemana. Mungkin anda boleh mulakan dengan melancong ke Taiwan terlebih dahulu?

Dalam usaha menarik pelancong muslim khususnya dari Malaysia untuk melancong ke negara itu, Biro Pelancongan Taiwan kini giat mempromosikan kempen Salam Taiwan .

F8Buzz berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman bercuti di Taiwan selama enam hari lima malam dan sesungguhnya memang terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati oleh pelancong muslim.

Perkara yang baik harus dikongsi bersama. Oleh itu, F8Buzz ingin mengesyorkan tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati di Taiwan.

1. SKM Park

SKM Park yang terletak di daerah Cianjhen, Kaohsiung, Taiwan merupakan sebuah taman tema yang juga digelar sebagai kompleks gaya hidup antarabangsa. Antara tarikan utamanya adalah taman tema, litar go-kart dan pusat beli-belah separa terbuka

Taman tema mereka yang dinamakan sebagai Suzuka Circuit Park memiliki 14 permainan yang anda boleh cuba sesuai untuk yang solo atau mereka yang sudah berkeluarga. Antara permainan yang menjadi tumpuan pelancong adalah seperti Drop Zone, Air Racers, Circuit Wheel dan banyak lagi.

Bagi mereka yang gemar akan sukan lasak, anda boleh mencuba Mini Suzuka Circuit untuk merasai memandu di litar go kart. Sebelum memandu, krew mereka akan memberi taklimat ringkas mengenai cara pengendalian go kart serta mempersiapkan anda dalam memakai alat keselamatan yang lengkap.

SKM Park juga memiliki pusat membeli-belah mereka sendiri. Untuk pengetahuan anda, kedai-kedai di sini semuanya adalah jenama terkemuka. Oleh itu untuk mereka yang suka akan barangan berjenama, ini mungkin destinasi pilihan anda.

Lokasi: SKM Park Outlets Kaohsiung Caoya

Alamat: No. 1-1號, Zhong’an Rd, Qianzhen District, Kaohsiung City, Taiwan 806

Waktu Operasi: 11:00am – 9:30pm (Isnin – Jumaat) 10:30am – 10:00pm (Sabtu – Ahad)

2. Cijin Tunnel of Stars

Terowong yang digali melalui gunung Cihou ketika zaman Kolonial Jepun, pada asalnya adalah terowong tentera. Kini ia telah dihiasi dengan lukisan 12 buruj menggunakan cat glow-in-the-dark serta bahan seperti kayu hanyut dan batu bercahaya

Suasana yang tenang dengan tiupan angin laut ketika melalui terowong tersebut pastinya memberikan rasa yang romantik serta mendamaikan jiwa yang lara. Sebaik sahaja anda berada di penghujung terowong, anda dapat mendengar bunyi air laut menghempas dinding kapur hijau ditepi pantai serta merasakan bayu dingin laut yang sejuk. Pemandangannya yang memukau juga mampu membuatkan anda jatuh cinta dengan Cijin.

Lokasi: Cijin Tunnel

Alamat: Lane 1, Miaoqian Rd, Qijin District, Kaohsiung City, Taiwan 805

Waktu Operasi: Dibuka sepanjang masa

3. Kaohsiung Lighthouse

Tidak jauh dari Cijin Tunnel, Kaohsiung Lighthouse juga menjadi antara tarikan pelancong di daerah Kaohsiung ini. Kaohsiung Lighthouse dibina pada tahun 1883 dan ia merupakan satu-satunya rumah api oktagon putih yang diperbuat daripada bata di Taiwan. Menara setinggi 15.2 meter itu menawarkan pemandangan menyeluruh Bandar Kaohsiung.

Digalakkan supaya anda memakai kasut yang selesa kerana anda perlu mendaki bukit dan anak tangga untuk sampai ke rumah api ini. Walaupun perlu mendaki selama 10 minit sebelum tiba ke puncak tetapi dengan pemandangan yang cantik sebagai balasan, pastinya berbaloi untuk berpenat lelah.

Sekiranya anda haus di atas sana, terdapat sebuah kedai kopi yang menjual kopi, aiskrim serta pemanis mulut iaitu Sharoline Coffee and Roaster. F8Buzz cadangkan anda untuk cuba minum pineapple iced coffee kerana rasanya unik dan anda mesti nak lagi.

Lokasi: Kaohsiung Lighthouse

Alamat: 80541, Taiwan, Kaohsiung City, Qijin District, 旗下巷34號

Waktu Operasi: 10:00am – 9:00pm

4. Chimei Museum

Para penggemar sejarah pasti akan menyukai Chimei Museum yang juga terletak di daerah Kaohsiung. Ini kerana, muzium ini ialah sebuah muzium yang komprehensif dengan koleksi seni Barat, alat muzik, persenjataan dan sejarah semula jadi.

Sampai sahaja di sini, anda akan dialu-alukan dengan arca-arca yang menarik. Anda akan merasakan seolah-olah anda berada di negara barat sewaktu melalui laluan masuk ke muzium. Laluan masuk yang sangat cantik ini pastinya tidak boleh dilepaskan untuk anda mengambil peluang untuk memotret gambar anda.

Muzium ini terkenal dengan koleksi biola terbesar di dunia serta koleksi senjata dan arca purba. Terdapat galeri pameran tetap, satu galeri pameran sementara dan dewan arca di bangunan utama.

Sekiranya anda kesini, jangan terlepas untuk menonton persembahan orkestra kerana ianya sangat menarik dan anda mungkin tidak pernah menyaksikan persembahan orkestra sedemikian.

Lokasi: Chimei Museum

Alamat: No. 66號, Section 2, Wenhua Rd, Rende District, Tainan City, Taiwan 717015

Waktu Operasi: 9:30am – 5:30pm (Ditutup pada hari Rabu)

5. Miaoli Old Mountain Line Rail Bike

Miaoli Old Mountain Line Rail Bike menawarkan pengalaman 90 minit yang luar biasa, menaiki kereta api di tengah-tengah pemandangan yang indah dengan kelajuan basikal tanpa perlu mengayuh. Disarankan agar anda membuat tempahan terlebih dahulu kerana ianya hanya akan membawa pelancong secara dalam kumpulan sebanyak empat kali sehari.

Ketika menaiki kereta ini, masa seperti berlalu dengan pantas kerana anda akan terlalu ralit melihat permandangan hutan yang indah dan menghijau. Selepas melalui beberapa terowong, anda akan berjalan melalui terowong sepanjang 750m yang dihiasi dengan cahaya dari projektor yang memancarkan grafik-grafik yang menarik.

Selain pengalaman menaiki kereta berkelajuan basikal, jambatan runtuh yang dikenali sebagai Longteng Broken Bridge juga menjadi tarikan pelancong disini. Difahamkan bahawa, jambatan tersebut runtuh kerana gempa bumi. Walaubagaimanapun, jambatan itu tetap mampu menunjukkan keindahan kraf serta kuasa alam semula jadi.

Bagi mereka yang tidak tahan dengan suhu yang sejuk, disarankan agar anda memakai pakaian yang tebal kerana kawasan ini terletak di atas bukit dan dikelilingi hutan.

Lokasi: Old Mountain Line Rail Bike- Shengxing Station

Alamat: 367, Taiwan, Miaoli County, Sanyi Township, 十四鄰八十八號

Waktu Operasi: 8:30am – 5:30pm (Setiap hari)

6. Schokolake Country House DIY Experience

Bagi penggemar manisan terutamanya coklat, ini mungkin syurga buat anda. Disini anda dapat merasai sendiri pengalaman membuat coklat di Schokolake Country House yang terletak di Miaoli Taiwan. Bukan itu sahaja, anda juga dapat menimba ilmu mengenai jenis-jenis coklat dan cara pembuatannya.

Selain membentuk coklat sendiri, disini juga terdapat kedai coklat, restoran serta kolam yang didiami beberapa ekor angsa. Selepas penat membuat coklat, anda boleh membeli-belah coklat untuk dibawa pulang ke rumah, makan tengah hari serta meluangkan masa memberi makanan kepada angsa-angsa yang ada di kolam.

Lokasi: Schokolake Country House

Alamat: 364, Taiwan, Miaoli County, Dahu Township, 號

Waktu Operasi: 9:00am – 5:30pm (Setiap hari)

7. Vigor Kobo Pineapple Cake Museum Tour

Terletak di bandar Taipei, muzium ini memberikan lawatan unik serta peluang untuk anda belajar membuat kek nanas anda sendiri.

Ketika melawat lokasi ini, penulis berasa sangat teruja kerana disapa dengan sebuah buah nanas yang besar sebaik sahaja memasuki bangunan tersebut. Bukan sekadar hiasan, buah nanas tersebut merupakan sebuah eskelator yang membawa pengunjung ke muzium kek tersebut.

Selain dari membuat kek nanas anda sendiri, anda juga akan diberi peluang merasai produk-produk mereka yang lain dan membuat pembelian produk mereka sekiranya ada yang anda berkenan di hati.

Lokasi: Vigor Kobo

Alamat: Taipei, Taiwan

Waktu Operasi: 10:00am – 9:30pm

8. Taoyuan Xpark

Lokasi yang wajib dilawati iaitu akuarium terbesar Taoyuan Xpark yang terletak di Taoyuan, Taiwan. Xpark dipenuhi dengan pelbagai kehidupan marin seperti ikan, sotong, obor-obor, anjing laut, dan bermacam-macam lagi.

Selain hidupan marin, Xpark juga mempunyai pertunjukkan haiwan yang berlangsung pada waktu-waktu yang dijadualkan. Antara haiwan yang membuat persembahan ketika pertunjukkan tersebut ialah singa laut, kambing serta burung helang.

Sekiranya anda gemar mengambil foto, ini adalah tempat yang sesuai untuk anda memotretkan gambar anda serta mengambil video untuk dimuat naik di akaun media sosial.

Lokasi: Xpark

Alamat: No. 105號, Chunde Rd, Zhongli District, Taoyuan City, Taiwan 320

Waktu Operasi: 10:00am – 6:00pm (Ahad – Jumaat) 10:00am – 8:00pm (Sabtu)

Masih ada banyak lagi lokasi yang F8Buzz nak anda pergi di Taiwan, tapi cukuplah kita kongsikan ini sahaja dahulu. Nantikan entri seterusnya untuk tempat-tempat menarik yang lain pula.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada TVA, kerana memberi peluang kepada F8Buzz untuk merasai pengalaman berada di Taiwan.

Tidak lupa juga kepada Roaming Man Malaysia yang menyediakan liputan internet tanpa sekatan sepanjang penulis berada dibumi Taiwan.

Jadi mulakan perancangan percutian anda ke Taiwan sekarang!

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

COEX Dulu Berlima, Sekarang Berempat? Eyka Disingkir, Tiada Komitmen?

Elly Mazlein Ber’Sayap’ Kembali Dalam Dunia Nyanyian